Permohonan kelompok mudah urusan JTS - Adenan
VALENTINE NGUMBANG
SRI AMAN, Selasa — Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini dinasihat memohon Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) menyukat tanah mereka secara berkelompok bagi memudahkan proses penyukatan dilakukan.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem berkata, permohonan hanya untuk menyukat tanah individu menyebabkan JTS mengambil tempoh masa yang panjang untuk menyiapkan kerja-kerja menyukat tanah NCR di negeri ini.
“Bukan sahaja setakat mengambil masa lama, bahkan permohonan hanya untuk menyukat tanah sendiri akan menyusahkan pemilik tanah NCR yang lain apabila mahu menyukat tanah selepas itu.
“Langkah terbaik ialah bergabung dengan penduduk di kampung atau rumah panjang mereka sendiri dan seterusnya menyerahkan tanggungjawab menyukat tanah mereka secara berkelompok (Perimeter Survey) kepada JTS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Warta Tanah NCR Di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Dan Cek Pampasan Tanah di Miri Stadium Sri Aman, semalam.
Penentuan dan pembahagian sempadan tanah NCR milik peserta itu kata Adenan, terpulang kepada tanggungjawab mereka sendiri sebaik sahaja tanah terbabit sudah siap disukat secara berkelompok oleh JTS.
“Hanya pemohon mengetahui sempadan tanah milik diri sendiri. Justeru, saya menyeru penduduk agar memilih kaedah penyukatan tanah NCR secara berkelompok untuk memudahkan urusan JTS,” jelasnya.
Terdahulu, Adenan menyampaikan cek bernilai RM340,689.77 wang pampasan kepada 82 orang pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Naik Taraf Jalan Sri Aman / Sembau I Stumbin / Lingga, Sri Aman.
Beliau juga turut menyampaikan surat Warta Tanah NCR kepada 30 orang tuai rumah dan kawasan Entulang di Sri Aman, Kubau I Rapak di Pantu, Bakong di Lingga, Sebu Tanjung Bijat dan Sungai Kaki Bukit Balau di Lingga.
Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Pengarah JTS Sarawak, Ibrahim Lumpu, Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Penguasa JTS Sri Aman, Razali Arshad dan Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh.
(Sumber: Utusan Sarawak, 15 Ogos 2012)
