9,835 Hektar Tanah NCR Di Pakan Dan Julau Diwarta

 

9,835 hektar tanah NCR di Pakan dan Julau diwarta


Pewartaan melibatkan 170 buah rumah panjang: Adenan

OIeh Kepu Sidi

SARIKEI:  Sejumlah 9,835 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di tiga buah kawasan di daerah Pakan dan Julau telah disenaraikan dalam Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Penyampaian warta ini meliputi 48 buah rumah panjang iaitu dari kawasan Jalan Pakan/SESCO dan Jalan Pakan Entabai serta kawasan Sungai Genega, Ulu Kota di Daerah Pakan dan kawasan Sungai Ensiring di Daerah Julau.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, pada tahun ini sekitar 60,000 hektar tanah di kawasan Pakan telah siap disukat.

“Ini membabitkan sebanyak 170 buah rumah panjang dan kawasan berkenaan dan kita yakin dalam tempoh terdekat ini Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri akan dapat dikeluarkan kepada pemilik-pemilik tanah ini.

“Bagi bahagian Sarikei pula, sebanyak 18 buah kawasan telah disurvei dengan jumlah keluasannya lebih kurang 75,118 hektar dan setakat ini, sebanyak empat kawasan telah diwartakan melalui warta kerajaan Sarawak,” kata Adenan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri selaras dengan Inisiatif Baharu NCR di Biik Persidangan Jabatan Tanah dan Survei, Wisma Jubli Mutiara, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Penguasa Tanah dan Survei Sarikei, Ngu Tai Kong dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut berkata, bagi kawasan Jalan Pakan/SESCO dan Jalan Pakan Entabai, ia telah melibatkan keluasan tanah 3,977 hektar.

“Ia melibatkan sebanyak 13 bidang tanah dan kawasan untuk komuniti Iban di 22 buah rumah panjang. Bagi kawasan Sungai Ensiring pula, ia berkeluasan 1,450 hektar dengan melibatkan dua bidang tanah untuk komuniti Iban di empat buah rumah panjang.

“Untuk kawasan Sungai Genega, Ulu Kota, kawasan seluas 4,408 hektar telah dikeluarkan wartanya pada hari ini (semalam), dengan bidang tanah disurvei untuk komuniti Iban dan 22 buah rumah panjang,” jelas Ngu.

Menurutnya lagi, selepas pewartaan, komuniti yang mempunyai hak ke atas kawasan mereka boleh menentukan hak individu masing-masing di dalam kawasan yang telah diwartakan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Tanah dan Survei (Pentadbiran) Sarawak Ibrahim Lumpu, Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli, wakil Pegawai Daerah Sarikei Lim Hock Ming, ketua-ketua masyarakat setempat dan 48 orang wakil penerima warta dan daerah Pakan dan Julau.

Ini membabitkan sebanyak 170 buah rumah panjang dan kawasan berkenaan dan kita yakin dalam tempoh terdekat ini Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri akan dapat dikeluarkan kepada pemilik-pemilik tanah ini.

(Sumber:  Utusan Borneo, 14 Ogos 2012)

 

 
image Polls
image Announcement