Bina Kampung Berdaya Maju

 

Bina Kampung berdaya maju


Masyarakat perlu kenal pasti sumber ekonomi utama bagi hasil produk

OIeh Adi Safarman
am@hmetro.com.my

SARIBAS: Masyarakat kampung di negeri ini perlu mengenal pasti sumber ekonomi utama di kawasan mereka bagi menghasilkan produk yang boleh diketengahkan ke pasaran lebih luas dalam usaha meningkatkan aktiviti ekonomi mereka.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Sri Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan sedang melaksanakan program di peringkat kampung dalam usaha menjadikan sebuah perkampungan itu berdaya maju dan menyumbang kepada pembangunan modal insan masyarakat setempat.

Katanya, setiap kampung termasuk Kampung Serabang dan Tuie wajar memanfaatkan kekuatan yang boleh diperkembangkan seperti industri kecil dan sederhana serta produk makanan untuk dibangunkan seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk.

“Memandangkan jalan utama ke Kampung Serabang dan Tuie kini sudah dinaiktaraf, penduduk seharusnya memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya terutamanya dalam aktiviti yang mendatangkan faedah besar kepada mereka,” katanya selepas menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 88 warga emas dan 16 anak yatim dua kampung berkenaan, kelmarin.

Dalam pada itu, katanya, memandangkan jalan utama ke kampung berkenaan sudah  sempurna, beliau bercadang membina sebuah sekolah baru bagi memastikan generasi pewaris di situ mendapat pendidikan dalam suasana yang lebih kondusif.

Uggah berharap tiada lagi pihak menimbulkan isu tanah di Tanjung Sebekut kerana ia sudah lama selesai dengan perwartaan tanah sebagai tanah Hak Adat Bumiputera sejak Ogos 2010 oleh kerajaan negeri.

Dalam majlis berasingan, Uggah menyerahkan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat untuk masjid dan surau.

(Sumber:  Harian Metro, 14 Ogos 2012)

 

 
image Polls
image Announcement