Kerajaan Berusaha Gigih Langsaikan Pembangunan

 

Kerajaan berusaha gigih langsaikan pembangunan


SPAOH, Ahad — Selaras pembangunan pesat negara ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha gigih membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini, khasnya penduduk di kawasan luar bandar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, usaha tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang telah, sedang dan akan giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk manfaat dan kesenangan rakyat.

Bagaimanapun katanya, usaha pembangunan kerajaan akan sukar dicapai dengan berkesan sekiranya rakyat tidak memanfaatkan sepenuhnya segala peluang dan kemudahan pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Keadaan ini sudah tentu akan merugikan kita semua dan boleh membantutkan kelicinan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk Spaoh di Masjid Darul Syifa dekat sini, semalam.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen P.204 Betong menasihatkan agar kepimpinan di peringkat kampung memainkan peranan menggerakkan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan di peringkat kampung.

Malah, perlaksanaan tersebut perlu disokong dan mendapat kerjasama di peringkat masyarakat untuk menjamin kejayaannya.

‘Kerjasama semua pihak amat penting kerana yang akan mendapat faedah ialah anda sendiri dalam kampung tersebut,” tegasnya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu Menteri Muda Kebajikan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chant Vincent Entering, Ketua Kampung, ketua-ketua serta wakil jabatan kerajaan, ketua-ketua masyarakat serta penduduk kampung.

Dalam perkembangan lain, beliau menafikan tuduhan pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa beliau bersama Robert Lawson Chant cuba untuk merampas tanah penduduk di kawasan itu.

“Namun begitu, kami sangat berterima kasih dan gembira kerana penduduk di Kampung Spaoh ini tidak mudah tertipu dengan pembohongan pihak-pihak tertentu yang suka menabur fitnah tidak berasas itu,” jelasnya.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar tiada lagi pihak menimbulkan isu tanah di Tanjung Sebekut kerana ia telah lama selesai dengan pengwartaan tanah tersebut sebagai tanah Hak Adat Bumiputera sejak Ogos 2010 lagi oleh Kerajaan Negeri.

Sementara itu. beliau turut mengumumkan beberapa peruntukan projek yang telah diluluskan iaitu RM30 ribu untuk membaikpulih jambatan-jambatan di dalam kampung, RM280 ribu untuk membina lorong-lorong dalam kampung, RM100 ribu untuk kerja-kerja perparitan selain menyerahkan beberapa cek untuk membaikpulih masjid dan surau-surau.

Pada majlis yang sama, masjid telah menerima RM80 ribu manakala surau-surau menerima RM20 ribu setiap satu.

(Sumber: Utusan Sarawak,13 Ogos 2012)

 
image Polls
image Announcement