Semua projek dijanjikan di Bau telah ditepati
Antaranya ialah pembinaan sekolah menengah berasrama penuh di Singgai bernilai RM60juta
Oleh Nick Fletcher
BAU: Semua projek di sini yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semasa Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lepas ditepati, kata Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian.
Menurut beliau, antara projek yang dijanjikan ialah pembinaan sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Singgai yang bernilai RM60 juta.
Pihak konsultan telah dilantik untuk membuat reka bentuk bangunan sekolah dan tender akan dikeluarkan selepas reka bentuk bangunan siap.
“Pembinaan dijangka bermula tahun depan,” katanya, semalam.
Selain itu, Nansian yang juga ADUN Tasik Biru berkata status pemilikan tanah hak milik individu turut dilaksanakan.
Pengukuran tanah NCR serta lot-lot kampung tradisi telah dan sedang dilaksanakan.
“Ini menunjukkan kerajaan bukan sahaja memberi janji tetapi melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM81,500 kepada seramai 21 penerima bagi kawasan Tasik Biru.
“Saya berharap wakil-wakil penerima supaya merekodkan jumlah geran yang diterima untuk proses audit kelak dan kemudiannya memaklumkan kepada penduduk mengenai jumlah geran yang diterima.
“Kita mahu rakyat tahu mengenai bantuan daripada kerajaan ini,” katanya.
(Sumber: Utusan Borneo, 10 Ogos 2012)