Warta tanah penting untuk jamin NCR
MIRI 29 Jun - Warta tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri adalah untuk menjamin pemilikan ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) agar ia tidak mudah dipindah milik, diceroboh atau dijual sesuka hati.
Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, warta berkenaan merupakan bukti pemilikan ke atas tanah NCR yang diwarisi sekali gus menjadi aset yang cukup berharga untuk memajukan diri.
“Penyerahan warta tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri amat penting kerana ia adalah langkah waspada daripada sebarang pencerobohan.
“Kita tidak boleh sekadar berkata itu tanah bapa saya, itu tanah datuk dan nenek saya. Pada zaman ini, segalanya memerlukan bukti yang nyata dan sah,” katanya pada Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Sibuti dekat sini baru-baru ini.
Sempena majlis terbabit, beliau menyampaikan warta tanah NCR kepada lima buah kampung iaitu Kampung Pejuang Kelulit, Kampung Pintasan Tiris, Kampung Sebalik Tiris, Kampung Sulap Lada dan Kampung Padang.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan pemilik tanah NCR yang telah memberikan kerjasama kepada proses menyukat tanah NCR mereka.
Katanya, bagi pihak yang merasakan tanah NCR yang dimiliki adalah lebih luas, mereka disaran membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) supaya menyukatnya.
“Bagi penduduk kampung yang telah memberikan kerjasama untuk proses menyukat tanah NCR, saya harap kerjasama seperti ini akan terus terjalin erat pada masa akan datang,” katanya.
Di seluruh kawasan Kelulit dan Tiris, JTS telah menyukat seluas 2,229 hektar tanah NCR.
Bagaimanapun sempena majlis berkenaan, hanya 616 hektar daripadanya menerima warta manakala selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat,
(Sumber: Utusan Malaysia, 30 Jun 2012)
