Penduduk Dua Kampung Lega Tanah NCR Mereka Diiktiraf

 

Penduduk dua kampung lega tanah NCR mereka diiktiraf


BAU: Keresahan kira-kira 500 keluarga dari Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh dekat sini terhadap status tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka berakhir semalam selepas menerima warta rizab guna sama Bumiputera dan geran tanah bagi tujuan pertanian daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) negeri.

Mewakili penduduk Kampung Grogo, Ketua Kaumnya Gani Jonek berkata, kini penduduk kampung berkenaan boleh mengusahakan tanah peninggalan nenek moyang mereka tanpa perlu bimbang tanah itu akan diambil oleh pihak lain.

Beliau turut menyifatkan pemberian warta dan geran itu hadiah tidak ternilai kepada penduduk kampung berkenaan.

“Terima kasih kepada kerajaan, terutama Jabatan Tanah dan Survei kerana meluluskan permohonan kami agar sukatan perimeter dibuat di Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh yang dikemukakan serentak dalam satu surat.

“Kami mengemukakan permohonan pada 2010 dan diluluskan Mac 2011.

“Kini tanah seluas kira-kiran 2,000 hektar atau kira-kira 5,000 ekar sah tanah NCR kami,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Gani menambah, penduduk Kampung Grogo menerusi inisiatif mereka sendiri dan bantuan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) akan membuah sempadan tanah antara penduduk kampung bagi tujuan sukatan individu.

“Tanah adalah nadi kami untuk bercucuk tanam, pemberian hak milik bersama ini sudah tentu suatu yang amat kami hargai.

“Langkah seterusnya ialah membuat sukatan individu dengan inisiatif kami sendiri untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk dikenal pasti seterusnya diluluskan,” tambahnya.

Menurutnya kebanyakan penduduk kampung berkenaan mengusahakan kebun buah, getah dan koko selain penanaman padi di tanah seluas 1981.99 hektar itu.

Ketua Kamu Kampung Sibuluh Jien Nyobek juga menganggap pemberian warta rizab guna sama Bumiputera dan geran itu merupakan lembaran baharu kepada penduduk kampung berkenaan untuk mengusahakan tanah mereka secara komersial bagi memastikan pendapatan lebih baik kepada warga tani di situ.

“Sebagai wakil penduduk kampung sudah tentu saya gembira dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana permohonan kami ditunaikan.

“Sekarang tanah NCR kira-kira 987 hektar di Kampung Sibuluh kini milik penduduk kampung daripada kira-kira 250 keluarga,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pengusaha tanah JTS Bahagian Kuching Mohammad Izzidin Basri ketika memberi taklimat pada majlis penyerahan warta rizab itu berkata penduduk kedua-dua kampung telah memberi kerjasama yang cukup baik.

Beliau berkata tiada bantahan yang menyebabkan pegawai jabatan itu dapat menyelesaikan kerja-kerja penyukatan ukur keliling dalam tempoh kurang setahun.

Hadir menyampaikan warta rizab dan geran tanah kepada kedua-dua kampung berkenaan ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

(Sumber:  Utusan Borneo, 28 Jun 2012)

 

 
image Polls
image Announcement