Tanah Beberapa Kampung Diwarta Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera

 

Tanah beberapa kampung diwarta Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera


BINTULU: Ketua-ketua kaum dan penduduk dan kawasan Kampung Kuala Segan, Sungai Sengab, Sungai Lupak, Sungai Serupai, Kemena Besar dan Kampung Kuala Tatau kini tidak perlu bimbang lagi kerana kawasan mereka telah diluluskan untuk diwarta sebagai Kawasan Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera yang telah dilaksanakan di bawah Program Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera
(NCR).

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Bintulu Ramzi Abdillah berkata, kejayaan tanah penduduk kawasan itu diwartakan adalah atas kerjasama dan kesabaran yang diberikan dalam memastikan proses pengukuran dan pewartaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Katanya jabatan sememangnya mengharapkan kerjasama yang sebegini daripada penduduk tempatan agar segala usaha serta polisi kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan hasilnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, keluasan kawasan yang telah diwartakan untuk Kampung Kuala Segan adalah 1,022.5 hektar dan Sungai Sengab adalah 181.26 hektar.

“Untuk kawasan Sungai Lupak pula keluasan kawasan yang telah diluluskan adalah 206.29 hektar manakala kawasan Kuala Tatau merangkumi Sungai Kemena Besar, Sungai Serupai dan Kampung Kuala Tatau kesemuanya berjumlah 186.4 hektar,” ujarnya dalam ucapan aluan di Majlis Penyampaian Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bahagian Bintulu di Auditorium BDA Wisma Bintulu semalam.

Justeru beliau mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua kaum yang terlibat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta rumah panjang atas usaha mereka dalam memastikan tanah mereka diwartakan sebagai Tanah Rizab Guna Sama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Seperti yang telah saya jelaskan semasa dialog di lapangan, Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang yang menjamin hak ke atas tuntutan tanah NCR. “Dengan adanya warta in pemilik tanah akan tahu sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka sekaligus dapat mengelak berlakunya pertikaian tanah,” tambahnya.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab jabatan untuk melaksanakan dan menjayakan apa juga polisi kerajaan yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan rakyat.

Disebabkan itu katanya, peranan ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum amat diperlukan dalam meyakinkan pihak-pihak lain dan menyampaikan polisi ini memandangkan ia dapat memberi manfaat kepada pemilik-pemilik tanah NCR.

Katanya ini akan dapat menepis tanggapan negatif masyarakat yang mengatakan kerajaan dengan sewenang-wenangnya mengambil tanah NCR seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu katanya, program itu dilaksanakan melalui dua langkah pelaksanaan dan menghasilkan dua produk iaitu pengukuran keliling untuk menghasilkan dua produk iaitu pengukuran keliling untuk mengasingkan tanah NCR yang sahih daripada tanah kerajaan.

“Tanah NCR tersebut kemudiannya akan diwartakan sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Manakala bagi langkah yang kedua, ketua kaum dan JKKK kampung atau rumah panjang yang terlibat hendaklah membantu pemilik-pemilik tanah NCR dan jiran sebelah tanah menentukan kedudukan sempadan tanah NCR dalam kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, ia penting bagi membolehkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) melakukan pengukuran secara terperinci dan seterusnya mengeluarkan surat hak milik tanah secara individu di bawah Seksyen 18 KanunTanah Negeri kepada pemilik tanah.

Beliau berkata, bagi pemilik tanah yang telah menghantar permohonan untuk pengukuran tetapi kerja pengukuran belum lagi bermula dikawasan mereka, diharap dapat bersabar dan memberi sedikit masa lagi kerana JTS sememangnya sedang berusaha keras untuk memenuhi kesemua permintaan untuk pengukuran tanah NCR.

 
(Sumber: Utusan Borneo, 21 Jun 2012)

 
image Polls
image Announcement