Kerajaan Iktiraf NCR Sebagai Rizab Gunasama Bumiputera

 

Kerajaan iktiraf NCR sebagai Rizab Gunasama Bumiputera


MULLER ASEN

BAU, Sabtu — Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kewujudan tanah hak adat bumiputera (NCR) menerusi pewartaan tanah itu sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

AhIi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina berkata dengan pewartaan itu, kawasan NCR tulen yang dimiliki oleh kaum-kaum tertentu akan dapat dikenal pasti dengan  jelas.

“Ini akan membolehkan kaum tersebut atau penduduk setempat mengetahui persempadanan tanah mereka dengan tanah di sekelilingnya misalnya antara tanah kerajaan dan tanah berhak millik.

“Justeru, tidak ada persoalan mengatakan kerajaan merampas tanah NCR daripada penduduk pribumi negeri ini. Begitu juga di Kampung Stenggang ini...selama ini pun, kerajaan sentiasa mengiktiraf kewujudan tanah NCR,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis pelancaran penyukatan tanah di bawah inisiatif baru NCR bagi kawasan Kampung Stenggang Bau di sini hari ini.

Seluas 3,599 hektar kawasan tanah NCR di Kampung Stenggang itu diluluskan untuk tujuan pengukuran perimeter itu.

Mengulas lanjut, Ranum memberitahu dengan adanya penyukatan ukur keliling itu, ia secara langsung akan mengelak pertikaian sempadan.

Pada waktu sama, ujarnya membolehkan tanah NCR yang telah disukat dibangun untuk pertanian komersial sama ada oleh penduduk sendiri atau dibangun bersama agensi kerajaan seperti SALCRA dan RISDA.

“Pihak kerajaan bukan sahaja mengiktiraf tanah NCR tetapi juga sentiasa berusaha untuk membangunkan tanah NCR melalui Konsep Pembangunan Tanah NCR atau ladang rakyat yang bertujuan menjamin kesejahteraan ekonomi masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ranum juga mengingatkan penduduk Kampung Stenggang supaya berhubung terus dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sekiranya terdapat sebarang permasalahan dan kemusykilan berkaitan semasa pelaksanaan penyukatan perimeter tanah NCR di kawasan terbabit kelak.

Beliau turut menasihati penduduk kampung terlibat agar memberikan kerjasama kepada kakitangan JTS yang bertugas sepanjang tempoh kerja-kerja penyukatan dan pengukuran tanah NCR milik mereka dijalankan.

“Dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada pemilik tanah, kerja-kerja penyukatan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Sambil menambah, inisiatif itu juga akan diteruskan dengan penyukatan lot-lot individu untuk dikeluarkan dengan geran di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau, Simon Jiput Tiok, Pegawai Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Mohd Izzidin Haji Basri, Temenggung Datu Stephen Jussem, Pemanca Daniel Teho, Penghulu Jinep Jiheng dan Ketua Kaum, Motion Sodiap.

(Sumber:  Utusan Sarawak 15 April 2012)

 

 
image Polls
image Announcement