Kerajaan Tidak Ambil Rakyat Secara Tanah Secara Percuma

 

Kerajaan tidak ambil rakyat secara tanah secara percuma


HAMIMI KASSIM

SPAOH, Isnin - Tanah Hak Adat Bumiputera ( NCR) di kawasan Tanjung Sebekut dekat sini untuk komuniti Melayu dan Kampung Spaoh, Tanjung Assam, Balingan dan Bungin telah dilulus sebagai NCR di bawah Inisiatif Baru NCR.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Pegawai Tanah di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong, David Laeng dalam Majlis Dialog Tanah NCR Kawasan Tanjung Sebekut, Spaoh bersama penduduk dan Kampung Spaoh, Tanjung Assam, Balingan dan Bungin di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada JTS Betong atas kejayaan menganjurkan majlis bertemu rakyat seperti itu.

Malah, beliau turut mengesah dan mengiktiraf di Tanjung Sebekut sebagai tanah NCR dan menggesa kepada pihak JTS agar tindakan untuk mewartakannya sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dapat dipercepatkan.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Ahli Parlimen P.204 Betong, menyeru kepada pemilik-pemilik tanah di kawasan Tanjung Sebekut agar terus mengusahakan tanah mereka untuk aktiviti-aktiviti pertanian bagi menambah sumber ekonomi harian mereka.

Oleh demikian, jelasnya, beliau bersama Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban akan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk membantu penduduk di sini bagi mengusahakan tanah-tanah yang masih belum diusahakan serta industri-industri kecil yang berkaitan dengan pertanian. Dalam pada yang sama, Uggah menyangkal keras dakwaan sesetengah pihak yang bercakap di kedai-kedai kopi dengan mengatakan kerajaan merampas tanah rakyat.

Katanya, rakyat perlu memahami bahawa kerajaan mesti mendapatkan lebih banyak tanah untuk melaksanakan lebih banyak pembangunan bagi meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak pernah mengambil tanah rakyat secara percuma tetapi akan membayar pampasan yang sewajarnya selaras dengan harga pasaran yang adil kepada para pemilik tanah. Pada masa yang sama, anda (pemilik tanah) turut mendapat keuntungan daripada nilai tambahan kepada tanah di sekitar mereka apabila lebih banyak pembangunan dilaksanakan di kawasan anda,” katanya.

Menurutnya, antara contoh yang paling jelas ialah Kawasan NCR Kampung Dato Godam dan Kampung Tambak yang telah disukat perimeter dan diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, salinan wartanya telah pun Kerajaan serahkan kepada mereka sedikit masa dahulu.

“Kini, terserahlah kepada anda (rakyat) untuk menilai samada Kerajaan merampas tanah rakyat ataupun sebaliknya,’ ujarnya.

Terdahulu, David menjelaskan bahawa tanah di kawasan tersebut sepatutnya
telah diluluskan pada 23 Ogos 2010.

Walau bagaimanapun, jelasnya, atas masalah pertindihan tuntutan pada masa itu maka ianya tidak dapat diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Meskipun demikan, pihak kami (JTS) tetap berusaha untuk membantu dan mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah pertindihan tuntutan tersebut.

“Hasil perjumpaan dengan beberapa Ketua Masyarakat, akhirnya masalah ini dapat diselesaikan dan tindakan untuk mewartakan kawasan tanah NCR Tanjung Sebekut sebagai Rezab Gunasama Bumiputera untuk tujuan pertanian di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dapat dibuat dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Uggah mengumumkan peruntukan Kerajaan sebanyak RM200 ribu untuk jambatan gantung Kampung Spaoh.

Hadir dalam majlis itu ialah Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, Pegawai Menguasa Daerah Spaoh, Bujang Ladi, wakil Jurutera JKR Betong, Anding, wakil Pengetua SMK Spaoh, Haji Annuar, Penghulu Haji Satar Jemain, Ketua-Ketua Masyarakat serta penduduk penduduk Kampung Spaoh, Tanjung Assam, Balingan dan Bungin.

(Sumber: Utusan Sarawak, 3 April 2012)

 
image Polls
image Announcement