JTS Akan Sukat Tanah Kampung Tradisi

 

JTS akan sukat tanah Kampung Tradisi


BETONG: Penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk penyukatan Kampung Tradisi bukanlah perkara baharu.

Meskipun sibuk dengan penyukatan perimeter tanah NCR di bawah Inisiatif Baru NCR, namun Jabatan Tanah dan Survei (JTS ) tetap terus menjalankan kerja-kerja penyukatan Kampung Tradisional bagi Kampung Dit, Debak dan Kampung Nyabor, Kabong.

Kerja-kerja penyukatan tanah NCR bagi 107 buah kawasan dengan keluasan lebih kurang 380,000 hektar yang akan diwartakan sebagai Rezab Gunasama di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan tidak termasuk tanah NCR untuk kegunaan Kampung Tradisi adalah merupakan proses dan usaha berterusan Kerajaan untuk membantu rakyat bagi mendapatkan surat pemilikan ke atas tanah masing-masing.

Dalam dialog yang diadakan di Kampung Dit, Debak, Anthony Aboi selaku Penguasa Tanah dan Survei, Betong menyeru kepada semua penduduk kampung agar dapat memberi kerjasama kepada JTS dalam menjalankan kerja-kerja penyukatan itu kelak.

“Penyukatan lot-lot individu dan seterusnya pengeluaran surat hakmilik tanah itu kelak adalah bagi mengelak tohmahan segelintir pihak yang menganggap rumah yang tidak bersukat itu sebagai setinggan.

“Selain itu, penyukatan ini adalah merupakan satu pengiktirafan  kerajaan dengan mengeluarkan surat hakmilik tanah kekal di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Sekiranya ada sebarang pertikaian, diharapkan ia dapat diselesaikan sebelum JTS memulakan kerja-kerja penyukatan,” katanya pada sesi dialog JTS bersama masyarakat di Kampung Dit, kelmarin.

Antara lain, tujuan majlis diadakan adalah untuk memaklumkan kepada penduduk di kedua-dua buah Kampung yang  JTS akan menjalankan kerja-kerja penyukatan kampung mereka dalam masa terdekat setelah mendapat kelulusan daripada Ibu Pejabat.

Sementara itu, Muhamah Hamid, Ketua Kampung (KK) Kampung Dit amat berterima kasih kepada kerajaan dan JTS kerana telah meluluskan permohonan  mereka sejak sekian lama.

Dengan kelulusan yang telah diberikan, beliau juga berharap pihak JTS dapat memulakan kerja-kerja penyukatan lot-lot kampung mereka dengan segera.

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Menguasa Daerah Debak Dr. James Luing, Sapiee Alwi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi Sitam, Penghulu Abang Kifrawi Abg Rukaili, serta penduduk Kampung Dit.

(Sumber: Utusan Borneo, 24 Mac 2012)

 

 

 
image Polls
image Announcement