JTS teruskan usaha sukat tanah NCR
BETONG, Khamis - Penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk Kampung Tradisi bukanlah perkara baru.
Meskipun sibuk dengan penyukatan perimeter tanah NCR di bawah Inisiatif Baru NCR, namun Jabatan Tanah dan Survei (JTS ) tetap terus menjalankan kerja penyukatan Kampung Tradisional bagi Kampung Dit, Debak dan Kampung Nyabor, Kabong.
Kerja penyukatan tanah NCR bagi 107 buah kawasan dengan keluasan lebih kurang 380,000 hektar yang akan diwartakan sebagai Rezab Gunasama di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan tidak termasuk tanah NCR untuk kegunaan Kampung Tradisi adalah merupakan proses dan usaha berterusan Kerajaan untuk membantu rakyat bagi mendapatkan surat pemilikan ke atas tanah masing-masing.
Penguasa Tanah dan Survei Betong, Anthony Aboi dalam ucapannya semasa sesi dialog bersama penduduk Kampung Dit, Debak mengharapkan penduduk kampung agar dapat memberi kerjasama kepada JTS dalam menjalankan kerja-kerja penyukatan itu kelak.
Katanya, sekiranya ada sebarang pertikaian diharapkan supaya ianya dapat diselesaikan sebelum JTS memulakan kerja-kerja penyukatan.
Selain itu, antara lain majlis itu diadakan adalah untuk memaklumkan kepada penduduk di kedua-dua buah Kampung tersebut bahawa JTS bakal menjalankan kerja penyukatan Kampung mereka dalam masa terdekat setelah mendapat kelulusan daripada Ibu Pejabat.
“Penyukatan lot individu dan seterusnya pengeluaran surat hakmilik tanah itu kelak adalah bagi mengelakkan tohmahan daripada segelintir pihak yang menganggap rumah yang tidak bersukat itu sebagai setinggan. Selain daripada itu, penyukatan ini adalah merupakan satu pengiktirafan daripada kerajaan dengan mengeluarkan surat hakmilik tanah kekal di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kampung (KK) Dit, Debak, Muhamah Hamid dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khasnya dan JTS amnya kerana telah meluluskan permohonan yang telah mereka pohon sejak sekian lama.
Menurutnya, dengan kelulusan yang telah diberikan, beliau juga mengharapkan agar pihak JTS dapat memulakan kerja-kerja penyukatan lot-lot kampung mereka dengan segera.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Menguasa Daerah Debak, Dr. James Luing, Tuan Haji Sapiee Alwi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, Penghulu Abg Kifrawi Abg Rukaili, KK Muhamad Hamid serta penduduk-penduduk Kampung Dit, Debak.
(Sumber: Utusan Sarawak 23 Mac 2012)
