DBNA sasar dokumentasikan tanah NCR di 298 kampung
KUCHING, Ahad – Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) mensasar untuk melakukan proses pendokumentasian Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di 298 buah perkampungan lagi dalam usaha memastikan semua tanah NCR milik komuniti Bidayuh disukat dan dikeluarkan surat hak miliknya.
Presidennya, Datu Ik Pahon berkata setakat kini 40 daripada 338 perkampungan Bidayuh di bahagian ini telah selesai disukat perimeternya, malah kerajaan sudah mengeluarkan warta yang menandakan kawasan tersebut sah sebagai tanah NCR.
“Program mendokumentasikan sempadan tanah NCR di kawasan masyarakat Bidayuh semakin mendapat sambutan menggalakkan dan ia perkembangan yang memberangsangkan terhadap inisiatif yang diambil oleh DBNA ini.
“Apa yang mustahak, menerusi inisiatif yang telah kita jalankan selama lima tahun lalu, perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan sebanyak 40 peratus selain tempoh penyukatan sebanyak 60 peratus,” katanya.
Beliau berkata demiian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Jelajah Pendidikan antara Universiti Curtin Sarawak dan DBNA di sini semalam.
Mengulas lanjut, IK Pahon juga memberitahu DBNA turut menyediakan latihan dan penerangan kepada masyarakat setempat mengenai proses pelaksaan inisiatif itu, seterusnya menerangkan kepada semua penduduk kampung yang terlibat.
Namun jelasnya, memandangkan peruntukan bagi tujuan berkenaan semakin terhad, DBNA mahu penduduk kampung lebih peka dan bertindak segera untuk merealisasikan proses ukur keliling tersebut.
“Ini seterusnya membolehkan semua masyarakat Bidayuh yang layak merebut peluang keemasan untuk memiliki tanah NCR yang mempunyai dokumen yang sah.
“Ia juga akan memastikan semua tanah NCR milik komuniti Bidayuh di negeri ini disukat dan surat hak milik dikeluarkan sebagai jaminan pemilikan tanah seterusnya melindungi hak pemilik tanah itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberithau DBNA turut merancang untuk membuka sebuah lagi Sekolah Warisan Bahasa Bidayuh menjelang tahun depan. Katanya, setakat ini DBNA telah membuka sembilan pusat perintis Pembelajaran Pelbagai Bahasa (MLE) yang di bawah kerjasama UNESCO itu di beberapa buah perkampungan Bidayuh.
“Kita bangga kerana program perintis ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan masyarakat setempat khasnya.
“Meskipun kemudahan yang ada tidak setanding dengan Tabika KEMAS atau Tabika Perpaduan, namun ia tidak menghalang ibu bapa kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun memilih kita,” katanya.
Antara kampung terbabit ialah Kampung Benuk, Kampung Skio, Kampung Pasir Ulu, Kampung Apar, Kampung Daun, Kampung Bogag, Kampung Serasot dan Kampung Sinjok.
(Sumber: Utusan Sarawak, 24 Mac 2012)
