Ukur perimeter tanah sendiri
Kerajaan tak sedia dana tambahan individu ingin dapat geran NCR
OIeh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
KERAJAAN tidak menyediakan peruntukan tambahan untuk kaji ukur perimeter tanah bagi individu yang ingin mendapatkan geran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin, berkata kaji ukur perimeter tanah ini dibuat atas kehendak kerajaan negeri.
“Kita tidak buat untuk individu yang ingin mendapatkan geran NCR,” katanya menjawab soalan Datuk Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) di Dewan Rakyat, semalam.
Billy, dalam soalan tambahannya bertanya samaada ada peruntukan tambahan untuk kaji ukur perimeter di Sarawak dan samaada penduduk rumah panjang dapat menggunakan status tanah untuk cagaran.
Sebelum itu, Billy bertanyakan apakah ada sebarang bantuan daripada kementerian untuk memudahkan pengusaha ladang kormersial kecil seperti getah, koko, lada dan kelapa sawit memperoleh pinjaman, terutama daripada agensi kerajaan dan bank komersial untuk memperkembangkan ladang mereka.
Menurut Ahli Parlimen itu, institusi terbabit kini menetapkan syarat yang seialunya tidak dapat dipenuhi pengusaha kecil, terutama syarat menyediakan geran tanah sebagai cagaran pinjaman.
Menjawab pertanyaan itu, Hamzah berkata, kerajaan menyediakan bantuan kepada peladang kecil yang diberikan menerusi Agrobank di bawah Dana Pinjaman Usahawan Pertanian (DPUP).
“Di bawah skim ini, pihak Agrobank menyediakan pinjaman mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana yang menjalankan projek industri asas tani merangkumi aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan bioteknologi termasuk tanaman sawit, getah, koko dan lada.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan Agrobank, termasuk warga negara Malaysia, syarikat hak milik tempatan dan mempunyai hak milik tanah yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga menyediakan program bantuan kepada pengusaha yang berminat untuk menceburkan diri dengan tanaman komoditi, contohnya Program Pembangunan Ladang Hutan, Skim Tanam Semula Pekebun Kecil (TSSPK), Skim Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil (TBSPK) selain bantuan untuk penanaman semula dan baru untuk getah, koko dan kenaf.
(Sumber: Berita Harian, 21 Mac 2012)
