Penduduk perlu beri kerjasama penyukatan NCR
MIRI 1 Mac - Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi melancarkan proses penyukatan perimeter tanah yang telah mendapat kelulusan untuk berbuat demikian.
Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga negeri, Rosey Yunus berkata, kerjasama tersebut penting bukan sahaja melancarkan proses penyukatan tanah NCR malah memberi manfaat dan keuntungan kepada pemilik tanah itu sendiri pada masa akan datang.
“Kerjasama bukan sahaja melancarkan proses penyukatan malah akan membantu juruukur JTS dalam mengenal pasti sempadan tanah NCR sekali gus membolehkan kerja-kerja penyukatan disiapkan dengan segera,” katanya di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Majlis Dialog Inisiatif Baru NCR di Rumah Panjang Tr. Bale, kira-kira 40 kilometer dari sini, semalam.
Dalam pada itu, JTS memerlukan tempoh 28 hari untuk menyiapkan kerja penyukatan NCR di kawasan Bukit Kisi yang membabitkan 647 pemilik tanah dan dua buah rumah panjang iaitu Rh Bale dan Rh Mission.
Kawasan Bukit Kisi seluas 488 hektar akan mula disukat minggu depan di bawah proses Inisiatif Baru NCR yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengatasi isu berkaitan tanah di Sarawak.
Rosey memberitahu, tanah yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sekali gus mengelak daripada sebarang pertikaian tanah pada masa akan datang.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri, Unus Tambi mengingatkan penduduk yang masih ragu-ragu dan kurang memahami tentang Inisiatif Baru NCR boleh meminta penjelasan dan keterangan lanjut daripada kakitangan jabatan berkenaan.
“Sekiranya ada keraguan tentang penyukatan tanah NCR, minta penjelasan daripada kakitangan JTS dan ini penting bagi mengelak kita daripada terpengaruh dengan sumber yang tidak betul,” ujarnya.
Pada majlis itu, Rosey turut mengumumkan peruntukkan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Biro Wanita Rumah Baie bagi menjalankan aktiviti rumah panjang.
(Sumber: Utusan Malaysia, 02 Mac 2012)
