Pemilik Tanah Dinasihati Usahakan Tanah

 

Pemilik tanah dinasihati usahakan tanah


BEKENU: Penduduk terutama yang tinggal di rumah panjang dan kawasan di pinggir bandar tidak harus berangan seperti Mat Jenin.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menasihati mereka supaya berusaha untuk mengerjakan tanah yang dimiliki mereka.

“Jangan hanya bermimpi untuk mengaut keuntungan dan kekayaan tetapi tidak ada satu pun usaha diambil atau dikerjakan,” katanya dalam Majlis Dialog Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Rumah Panjang Baie, Sungai Mamut, Bekenu semalam.

Menurutnya, tanaman atau perusahaan yang berpotensi untuk mendatangkan hasil lumayan sepatutnya menjadi piihan dan pada masa sama tidak ada orang lain yang dapat mengganggu tanah mereka.

“Dengan cara ini nanti, tiada orang akan mengganggu atau membuat kacau ke atas tanah kita,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus yang turut berucap memberitahu semua penduduk rumah panjang agar memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk menyukat perimeter tanah NCR di rumah mereka.

“Kalau ada halangan atau pertelingkahan sesama sendiri berkaitan tanah, maka kerja pihak JTS semakin sukar dan memakan masa lama,”ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Baie.

Semalam, satu taklimat berkaitan penyukatan perimeter tanah NCR diadakan oleh JTS Miri di dua rumah panjang iaitu Baie dan Misoon.

Turut hadir Tuai Rumah Baie Suka, Penghulu Sadi Mancha, Penguasa JTS Miri
Unus Tambi dan Timbalan Residen Miri Oyo Emang.

(Sumber:  Utusan Borneo, 01 Mac 2012)

 
image Polls
image Announcement