Tanah NCR Kenyah Dan Iban Selesai Diukur, Kata Adenan

 

Tanah NCR Kenyah dan Iban selesai diukur, kata Adenan


MIRI: Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik masyarakat Kenyah di Long Aton Baram dan masyarakat Iban di Sungai Senga, Tanjong Baru Suai, Niah telah selesai diukur oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Sekseyn 6, Kanun Tanah Negeri.

Menteri Tugas-tugas Khas, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem hadir menyampaikan warta berkenaan pada majlis penyerahan di pejabat JTS Miri petang semalam.

Penduduk Long Aton di waklili oleh Penghulu Joseph Belulok dan Tuai Rumah Michael Kebing sementara penduduk Sungai Senga diwakili oleh Temenggung Wilson Atong Limping untuk menreima warta berkenaan.

Di Long Aton, JTS mewartakan seluas 1,342 hektar tanah sementara mewartakan seluas 188 hektar tanah NCR di Sungai Senga.

Pemangku Penguasa JTS Miri Douglas Pungga Lawang memberitahu, dua kawasan berkenaan adalah kawasan NCR ketiga telah disukat oleh mereka selepas Kampung Terahad Sibuti pada awal Mei lalu.

“Lima lagi kawasan yang telah siap diukur dan sedang  dalam proses pewartaan ialah Long Panai Baram, Kampung Pejuang Kelulit dan Tris Sibuti, Kampung Narum Marudi, Kampung Kuala Suai Niah dan Sungai Merbang and Sungai Tutong Niah,” jelasnya.

Douglas memberitahu, di bawah inisiatif baru NCR, di seluruh Sarawak telah  diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera dan sehingga kini,  warta untuk 20 kawasan telah diserahkan kepada penduduk.

Beliau menambah, penyerahan warta bagi tiga kawasan di Limbang dan dua di Miri (semalam) menjadikan jumlah keseluruhan warta yang telah diserahkan kepada penduduk bertambah kepada 25.

Pada masa kini, kerja pengukuran sedang berjalan dengan lancar di kawasan Apoh Baram (9.710 hektar), Akah Patah Baram (9,346 hektar), Sungai Ukat Bario (3,907 hektar), Long Ajoi Tinjar (1.611 hektar) dan Kampung Melayu Bakong  (5,892 hektar).

Douglas menegaskan, JTS gigih menjalankan kerja pengukuran keliling semua tanah NCR yang sahih di Sarawak dan berharap pemilik tanah bersabar kerana juruukur JTS berusaha memenuhi semua permintaan.

“Penyerahan warta kepada rakyat merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memberikan pengiktirafan kepada pemilikan tanah NCR.

“Dengan penyerahan warta, ini juga membuktikan bahawa pemilik tanah sedia bekerjasama dengan jabatan sehingga membolehkan kerja pengukuran disiapkan dengan segera dalam tempoh yang ditetapkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Douglas berkata, perisytiharaan tanah NCR sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri merupakan jaminan dan pengiktirafan undang-undang ke atas pemilikan tanah NCR.

Hak ke atas tanah NCR yang diwartakan akan ditadbir dan diurus menggunakan undang-undang adat masyarakat yang mepunyai hak ke atas tanah NCR.

“Melalui proses pewartaan juga, masalah pencerobohan oleh syarikat perladangan dan pertikaian sempadan tanah sesama penduduk dapat dikurangkan.

“Hal ini kerana saiz dan sempadan kawasan tanah NCR akan jelas diketahui selepas siap pengukuran keliling dan pewartaan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pemilik tanah NCR agar memaklumkan kepada JTS secara bertulis untuk membolehkan tanah mereka diukur di di bawah inisiatif baru itu.

Beliau menegaskan, tanah yang hendak diukur haruslah bebas daripada pertikaian mahkamah atau pun pertelingkahan semasa penduduk serta tidak terlibat dalam mana-mana kes mahkamah.

 

(Sumber: Utusan Borneo, 25 November 2011)

 

 
image Polls
image Announcement