Kikis budaya sikap ‘tidak ambil peduli’ - Manyin
Muller Asen
Masyarakat Bidayuh yang berjaya sama ada dari segi pendidikan dan kerjaya perlu tampil membantu masyarakat itu yang masih memerlukan bantuan bagi memastikan tiada daripada masyarakat itu yang ketinggalan menikmati taraf hidup lebih baik.
Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata kumpulan individu kaum itu yang berjaya tidak harus mementingkan diri sendiri hanya kerana mereka telah menikmati kesenangan dan taraf hidup yang lebih baik.
Menurutnya, sekiranya kumpulan tersebut mengamalkan sikap ‘tidak ambil peduli’ terhadap mereka yang masih ketinggalan, maka ada segelintir masyarakat itu akan terus tersisih untuk menikmati kesenangan hidup.
“Justeru kikiskanlah budaya tidak ambil peduli ini kerana ia merupakan satu tembok pemisah kepada kita semua kaum Bidayuh untuk mengecapi kemajuan dan pembangunan seperti mana kaum lain di negeri ini.
“Apa yang paling mustahak ialah kita masyarakat Bidayuh harus terus mempertahankan semangat perpaduan yang diamalkan dan tidak ketinggalan dalam proses pembangunan negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Borang Survei GPS Projek Pendokumentasian Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kawasan Singai di Kampung Sudoh Bau di Bau, semalam.
Manyin menambah, kaum Bidayuh yang ketinggalan amat dialu-alukan untuk mendapatkan bantuan daripada DBNA yang telah menjalankan pelbagai usaha untuk menyatukan semua komuniti Bidayuh dari kawasan Lundu, Bau, Padawan, Penrisen dan Serian serta tempat-tempat lain.
Katanya, penubuhan persatuan itu antara lain adalah untuk memastikan Bidayuh terus bergerak maju ke depan setanding dengan kaum lain, berpegang kepada semangat Bidayuh.
“Justeru, tidak kira siapa anda dan dari mana anda, kita adalah Bidayuh dan sama-sama akan terus membangunkan masyarakat kita menerusi DBNA,” katanya,.
Sebanyak 11 kampung terlibat untuk projek tersebut termasuk Kampung Apar, Kampung Segong, Kampung Sudoh, Kampung Bobak Sejinjang dan Kampung Tanjong Senibong.
Kerja-kerja pendokumentasian yang melibatkan keluasan 8,076 hektar dijalankan selama 8 bulan melibatkan kos berjumlah 430,000 ringgit yang dibiayai sendiri oleh penduduk kampung.
Selepas kerja-kerja pendokumentasian, permohonan akan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk kelulusan pemberian surat hak milik tanah.
(Sumber: Utusan Sarawak, 20 November 2011)
