‘Selesaikan Dahulu Pertikaian’

 

‘Selesaikan dahulu pertikaian’


JTS akan ukur tanah sekiranya tiada pertindihan - Adenan

KUCHING, 16 Nov.  -  Jabatan Tanah dan Survei (JTS) tidak akan meneruskan kerja-kerja menyukat sekiranya pertikaian atau pertindihan sesuatu tuntutan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak diselesaikan terlebih dahulu oleh pemilik atau penduduk yang  terlibat di kawasan itu.

Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri  Adenan  Satem berkata, sebarang pertikaian sesama sendiri hanya akan merumitkan keadaan sehingga memberi kesan buruk termasuk melambatkan kerja-kerja menyukat tanah di kawasan lain.

Justeru itu katanya, JTS akan memastikan setiap permohonan untuk menyukat tanah di bawah insiatif baru NCR disemak secara terperinci untuk mengelak berlakunya sebarang pertindihan.

“Pihak JTS juga akan mengenal pasti sama ada kawasan yang hendak disukat itu mempunyai titik kawalan ukur serta tidak pernah terbabit dengan kerja-kerja menyukat terdahulu.

“Sekiranya terdapat masalah, kita tidak tunggu, sebaliknya akan menyukat tanah di kawasan lain terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ripin Lamat (BN-Lambir) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Ditanya peranan pihaknya dalam kes tanah NCR di mahkamah yang mengambil masa terlalu lama untuk selesai, Adenan berkata, kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan perundangan bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

Terdahulu ketika menjawab serentak soalan Ripin, Snowdan Lawan (BN-Balai Ringin), Johnical Rayong Ngipa (BN-Engkilili) dan Dr. Annuar Rapaee (BN-Nangka), Adenan berkata ,pihak JTS sentiasa memantau proses semakan setiap permohonan yang dikemukakan penduduk dari semasa ke semasa.

Sehingga kini, katanya, sejumlah 206.1 hektar tanah di Lambir dan 440.7 hektar tanah di Engkilili telah siap diukur keliling dan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri

“Bagi kawasan Balai Ringin, pihak JTS menerima tujuh permohonan manakala di kawasan Nangka, 18 permohonan dan kesemuanya masih dalam proses semakan status sama ada ia tertakluk kepada tanah NCR atau sebaliknya.

“Kita juga memberi jaminan bahawa JTS akan memproses permohonan tersebut secepat mungkin bagi mengelakkan penduduk menunggu terlalu lama,” katanya.

 

(Sumber: Utusan Malaysia, 17 November 2011)

 

 
image Polls
image Announcement