Tanah Belum Disukat Masih Dalam Semakan Status

 

Tanah belum disukat masih dalam semakan status


KUCHING, Rabu -  Kesemua permohonan yang diajukan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) yang belum disukat sebenarnya masih dalam proses semakan status tanah sama ada tanah yang dimaksudkan tertakluk kepada  tanah NCR atau sebaliknya.

Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adenan  Satem berkata, JTS sentiasa memantau proses permohonan tersebut dari semasa ke semasa.

Jelasnya, untuk kawasan DUN Balai Ringgin, JTS menerima tujuh permohonan pengukuran di bawah insiatif baru NCR.

Untuk Engkilili pula, setakat ini, sejumlah 1,088.9 ekar tanah NCR siap diukur keliling di bawah Peringkat Pertama Inisiatif Baru NCR dan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melalui Swk. L.N. (Land Notification) 75 bertarikh 12 November 2010.

“Pengukuran ini adalah bagi tujuan pertanian kepada penduduk tempatan Rh. Renggi Ak Ungkong dari Kampung Bukong, Rh. Pawi Ak Lamoh dari Danau, Rh. Dundang Ak Mujab dari Kandis dan Rh. Nyalau Ak Muang dari Kampung Bukong, kesemuanya di Engkilili, Sri Aman,” katanya bahawa kawasan tersebut dikenali sebagai Lot 1 Block 18 Marup Land District.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Balai Ringin, Snowdan Lawan dan ADUN Engkilili,  Johnical Rayong semasa Persidangan Hari Ketiga bagi Penggal Pertama DUN Sarawak ke-17 hari ini.

Sementara itu,  menjawab persoalan ADUN Nangka,  Annuar Rapa’ee  berkaitan jumlah rumah panjang dan kampung yang dilibatkan dalam pemetaan perimeter, Adenan menjawab bahawa JTS menerima sebanyak 18 permohonan.

“Setakat ini, sebanyak 18 permohonan  diterima untuk diukur di bawah inisiatif baru NCR  bagi kawasan DUN Nangka yang kini sedang dalam proses semakan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi Lambir pula, setakat ini sejumlah 206.1 hektar tanah NCR di kawasan itu telah siap diukur keliling dan telah diwartakan  sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melalui Swk. L.N. 67 bertarikh 29 Oktober 2010.

“Dan ini pula adalah bagi maksud pertanian oleh penduduk Kampung Terahad, Sibuti.  Kawasan tersebut dikenali sebagai Lot 179 hingga Lot 181, Block 19, Lambir Land District,” katanya ketika menjawab persoalan ADUN Lambir, Ripin Lamat .

Menjawab soalan tambahan berkaitan tindakan kerajaan terhadap tanah yang dibawa ke mahkamah dan bertindih, menurutnya, JTS sudah diarahkan untuk mengutamakan permohonan di kawasan tanah yang tidak mempunyai masalah berbanding di kawasan yang berdepan masalah.

“Pihak JTS akan membiarkan mahkamah menyelesaikan masalah tersebut dan berharap agar orang ramai memberikan kerjasama.

“Jadi, bagi kawasan yang masih terlibat dengan kes mahkamah ia perlu diketepikan terlebih dahulu sebelum kes tersebut diselesaikan,” jelasnya bahawa tanah yang dipohon untuk diukur mesti bebas daripada pertikaian dan sebarang kes mahkamah.

Ujarnya lagi, JTS perlu memberi tumpuan di kawasan yang tidak bermasalah agar proses berkaitan dapat dijalankan dengan lancar dan pantas.

Beliau menambah kata, pada umumnya, kesemua permohonan untuk pengukuran di bawah inisiatif baru NCR akan disemak secara terperinci untuk mengelakkan pertindihan dengan permohonan lain, kawasan yang sudah dibabitkan serta mengenal pasti sama ada kawasan yang dipohon itu mempunyai titik kawalan ukur (survey control point).

“Kerja pengukuran keliling tanah NCR  Inisiatif Baru ialah usaha yang berterusan dan Kerajaan Negeri tetap melaksanakan kerja ukur  dari semasa ke semasa,” jelasnya.

 

 (Sumber: Utusan Sarawak, 17 November 2011)

 

 
image Polls
image Announcement