Permohonan ukur tanah disemak dengan teliti
KUCHING: Semua permohonan pengukuran di bawah inisiatif baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan disemak secara terperinci bagi mengelak pertindihan maklumat.
Menteri Tugas-tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem berkata, inisiatif baru itu adalah usaha berterusan kerajaan negeri yang dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi kerja pengukuran tanah NCR di negeri ini.
“Usaha ini bagi memastikan tidak berlaku pertindihan permohonan kerana kawasan yang sudah dikenal pasti mempunyai titik kawalan ukur,” katanya ketika hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-17, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringgin, Snowdan Lawan, Johnical Rayong (Engkilili), Annuar Rapa’ee (Nangka) dan Ripin Lamat (Lambir).
Katanya, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menerima tujuh permohonan pengukuran di bawah insiatif terbabit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin.
“Semua permohonan berkenaan dalam proses semakan status sama ada ia tertakluk sebagai tanah NCR atau sebaliknya dan jabatan sentiasa memantau proses permohonan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Adenan berkata, 440.7 hektar tanah Bumiputera di sekitar kawasan Engkilili, manakala 206.1 hektar di Lambir sudah selesai di ukur di bawah Peringkat Pertama Inisiatif Baru NCR dan diwartakan sebagai rizab.
“Sementara itu, JTS turut menerima 18 permohonan di bawah inisiatif baru terbabit bagi kawasan Nangka yang sedang dalam proses semakan,” katanya.
(Sumber: Harian Metro, 17 November 2011)
