Muara Payang kawasan tanah NCR pertama di Sarikei diwarta RGB
SARIKEI: Muara Payang dengan keluasan lebih kurang 481 hektar merupakan kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pertama di Sarikei yang diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera (RGB) di bawah Inisiatif Baru NCR.
Kawasan yang telah diwartakan ini adalah khusus untuk kegunaan eksklusif bagi masyarakat Iban di Rumah Brandah Chundan, Rumah Jugah Banyah, Rumah Benang Pirang, Rumah Juan Buyu, Rumah Muli Nyantau, Rumah Gauning Lagau, Rumah Endan Minai, Rumah Pagan Labu dan Rumah Libau.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Ngu Tai Kong berkata, terdapat dua lagi kawasan yang turut sedang dalam proses pewartaan sebagai RGB iaitu di Jalan Pakan/Entabai dan Sungai Ensiring di Julau.
“Kedua-dua kawasan terbabit mempunyai saiz keluasan kira-kira 4,299 dan 4,765 hektar.
“Kita ingin menyakinkan kepada pemilik tanah bahawa pihak Jabatan Tanah dan Survei sedang berusaha keras melakukan kerja pengukuran ke atas ke semua tanah NCR yang sahih di negeri Sarawak,” kata Ngu.
Tambahnya, kerja-kerja pengukuran yang dijalankan oleh pihak JTS akan mengambil masa memandangkan tanah-tanah NCR di seluruh Sarawak adalah luas.
Ngu berkata demikian dlama ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Tingkat 5, JTS, petang kelmarin.
Menurutnya, bagi pemilik tanah yang telah melakukan permohonan untuk pengukuran, adalah diharap agar mereka dapat bersabar sekiranya pengukuran belum bermula di kawasan mereka kerana juru ukur JTS sedang berusaha memenuhi kesemua permintaan untuk pengukuran tanah NCR.
“Dengan kesempatan ini juga pihak kami ingin mengingatkan bagi masyarakat yang memiliki tanah NCR yang sahih agar menghantar permohonan bertulis kepada JTS dengan segera sekiranya mereka ingin tanah NCR mereka disukat dan diwartakan di RGB di bawah Inisiatif Baru NCR.
“Kami juga ingin mengingatkan, jika terdapat sebarang permohonan yang mempunyai masalah, pertikaian dan kes mahkamah yang melibatkan tanah yang telah dipohon untuk pengukuran perlulah diselesaikan dengan segera agar kerja-kerja pengukuran tidak terganggu dan dapat berjalan dengan lancar,” ujar Ngu.
(Sumber: Utusan Borneo, 12 November 2011)
