Tuai rumah perlu bantu JTS lancarkan proses sukat tanah NCR
Roger Francis
SARIKEI, Rabu - Jabatan Tanah dan Survei (JTS) pada masa kini berusaha keras membantu pemilik tanah menyukat kawasan terpilih seluruh Sarawak yang telah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera.
Menteri Tugas-tugas Khas Di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem berkata, 20 daripadanya telah diwarta dan disampaikan kepada ketua kampung atau tuai rumah.
Jelasnya, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bahagian Sarikei membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan komited untuk membantu masyarakat melalui kerja penyukatan tanah NCR yang sedang dilaksanakan pada masa kini.
“Proses penwartaan kawasan Muara Payang di Sarikei melibatkan kawasan seluas 481 hektar dan 9 buah rumah panjang merupakan usaha berterusan JTS untuk memberikan jaminan ke atas hak milik tanah,” katanya.
Jelas Adenan lagi, dalam memastikan proses penyukatan tanah berjalan lancar, penduduk terlibat perlu memberikan kerjasama kepada juruukur JTS dan tidak menimbul sebarang masalah supaya proses penyukatan berjalan lancar.
“Dalam memastikan semua pihak mendapat manfaat proses itu, penduduk perlu mengikis sikap keras kepala kerana ia bukan sahaja akan merugikan sebaliknya melambatkan proses sukatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sarikei di Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Sarikei di Bangunan Jubli Mutiara semalam.
Beliau turut menasihat tuai rumah yang akan turut serta dalam proses penyukatan tanah supaya meminimakan salah faham atau pergaduhan dan cuba mengatasi masalah wujud dengan profesional.
“Perkara besar yang wujud semasa proses penyukatan perlu dikecilkan bagi memastikan JTS dapat melaksana tanggungjawab dan tugas mereka dengan lebih cepat,” katanya.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Ngu Tai Kong berkata, kawasan Muara Payang dengan keluasan lebih kurang 481 hektar merupakan kawasan NCR yang pertama di Sarikei diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Inisiatif Baru NCR untuk kegunaan ekslusif masyarakat Iban.
‘Melalui usaha ini, masalah pencerobohan dan pertikaian sempadan tanah dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan mereka yang memilik tanah NCR yang sahih suepaya menghantar permohonan bertulis kepada Jabatan Tanah dan Survei dengan segera manakala sebarang pertikaian dan kes mahkamah yang melibatkan tanah yang dimohon untuk proses penyukatan perlu diselesai agar proses berjalan lancar.
Usaha Jabatan Tanah dan Survei Sarikei telah membolehkan kawasan Muara Payang
diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Inisiatif Baru NCR untuk kegunaan ekslusif masyarakat Iban Rumah Brandah ak Chundan, Rumah Jugah ak Banyah, Rumah Benang ak Pirang, Rumah Juan ak Buyu, Rumah Muli ak Nyatau, Rumah Gauning ak Lagau, Rumah Endan ak Minai, Rumah Pagan ak Labu and Rumah Libau.
Dua kawasan iaitu Jalan Pakan/Sesco dan Jalan Pakan/Entabai dan Sungai Ensiring di Julau masing-masing dengan keluasan kira-kira 4,299 dan 4765 hektar masih dalam proses pewartaan.
Turut hadir semasa majlis ialah Residen Bahgain sarikei, Michael Dawi, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS, Sajeli Kipli dan Pegawai Daerah Sarikei, Abang Mohd Porkan Abang Budiman.
(Sumber: Utusan Sarawak, 10 November 2011)
