Jamin Masa Depan Penduduk

 

Jamin masa depan penduduk


Kawasan rizab gunasama Kampung Gedong berpotensi untuk aktiviti ekonomi

GEDONG, Isnin- Kawasan tanah rizab gunasama Bumiputera NCR di kawasan Kampung Gedong yang telah selesai disukat baru-baru ini boleh menjanjikan masa depan yang lebih terjamin kepada penduduk di kawasan ini, jika kawasan tanah berkenaan dimajukan dengan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk peladangan komersial.

Menteri Muda Perancangan Sumber, Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais berkata, antara aktiviti ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan itu ialah peladangan sawit secara komersial atau projek pembinaan rumah rakyat bagi menampung keperluan tempat tinggal kepada penduduk Kampung Gedong yang jumlahnya semakin bertambah.

Malah katanya, kawasan itu amat strategik kerana ia terletak di kawasan jalan raya baharu antara Kampung Gedong dan Simunjan yang kini dalam pembinaan.

“Saya juga membayangkan supaya kawasan itu (kawasan rizab gunasama NCR) turut dijadikan kawasan pembesaran Kampung Gedong memandangkan jumlah penduduk di kampung ini semakin bertambah dan mereka tentunya memerlukan tempat tinggal yang lebih selesa.

“Bagaimanapun, terpulang kepada penduduk Kampung Gedong untuk memikir dan merancang  aktiviti pembangunan yang sesuai dan yang mampu memberi faedah jangka panjang kepada seluruh penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mjalis Kesyukuran dan Pengagihan Daging Korban di Masjid Al-Kawtsar Kampung Gedong hari ini.

Pada majlis itu sebanyak lapan ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya diagih-agihkan kepada seluruh penduduk ketua keluarga di kawasan berkenaan. Lembu itu adalah sumbangan Mohd Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.21 Simunjan dan Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Hajah Nancy Haji Shukri. Berucap pada majlis itu, Mohd Naroden juga mengingatkan penduduk supaya mengekalkan perpaduan dan bersatu menentang segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh golongan tertentu terutama yang berhubung dengan pembangunan tanah.

Katanya, fitnah yang dilemparkan oleh golongan kecil itu ialah mendakwa kononnya tanah yang disukat di kawasan Gedong akan diagih-agihkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan atau pemimpin itu sendiri.

“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali sebaliknya tanah yang disukat itu akan digunakan semua penduduk di kawasan Kampung Gedong melalui konsep tanah rizab gunasama NCR,” katanya.

Mohd Naroden juga memuji semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Gedong termasuk dalam mengendalikan upacara pengagihan daging korban.

Sebelum itu, Mohd Naroden turut menyertai kira-kira 50 orang ahli zikir yang mewakili sembilan buah surau di Kampung Gedong berzikir marhaban. Turut diadakan ialah bertakbir secara beramai-ramai dan solat fardhu Zuhur berjemaah.

Turut hadir ialah Kr Haji Jafar Mostapa, Pemanca Haji Atem bin Morshidi, Penghulu Haji Shahra bin Enai dan Pengerusi Masjid Al-Kawtsar Kampung Gedong, Julkefli bin Net.

 

(Sumber: Utusan Sarawak, 8 November 2011)

 
image Polls
image Announcement