BN bantu rakyat keluar dari kemiskinan – Murni
SIBU, Jumaat – Bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada penduduk di luar Bandar merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat supaya terkeluar daripada kepompong kemiskinan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Murni Suhaili berkata, dengan bantuan yang diberikan itu diharapkan penerima terutama penduduk luar Bandar akan terus berusaha meningkatkan taraf hidup mereka.
Apa yang lebih penting, rakyat harus bekerjasama dengan kerajaan jika mahu permohonan mendapatkan bantuan diurus dengan licin, katanya ketika melancarkan Program Bantuan Rumah Kawasan Sungai Lengan di Rh. Jawa anak Tanggai, Sungai Lengan dekat sini semalam.
Sebanyak enam buah rumah baru dan 53 pintu rumah panjang dibaikpulih di bawah program berkenaan di kawasan Sungai Lengan. Bagi setiap sebuah rumah baru, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM40,000.00 manakala bagi setiap pintu rumah panjang yang dibaikpulih diperuntukkan RM12,000.00.
Sungai Lengan setengah jam perjalanan dengan menaiki kenderaan dari Sibu menggunakan Jalan Tanjung Manis-Sibu dan kemudian kira-kira 15 minit menaiki bot dari jabatan Sungai Lengan.
Murni berkata, dalam setiap program lawatan ke rumah panjang di kawasannya masalah membaiki rumah panjang sentiasa menjadi tajuk perbincangan dan sesungguhnya penduduk di Sungai Lengan sangat beruntung kerana mendapat peruntukan membaikpulih rumah mereka.
Mengenai bantuan yang diagihkan kepada penduduk, beliau berharap jabatan serta agensi kerajaan yang terbabit supaya dapat menyelaraskannya bagi mengelak pertindihan dan menambah, di kawasan DUN Daro ada 60 buah rumah panjang.
Beliau juga meminta jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya mengaktif atau membuka akaun bank bagi membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan yang dipohonnya.
Kebanyakan JKKK malah persatuan berkenaan lewat menerima peruntukan MRP disebabkan akaun banknya tidak aktif atau langsung tidak mempunyai akaun, katanya yang turut menegaskan, peruntukan RM100,000.00 sudah pun diluluskan bagi membina jalan masuk ke rumah panjang di Sungai Lengan dari jalan utama Jalan Tanjung Manis-Sibu.
Pada majlis itu, Murni turut berdialog dengan penghuni dari sembilan rumah panjang di Sungai Lengan berhubung dengan kerja penyukatan tanah NCR, menyerahkan surat kelulusan membina dan membaikpulih rumah dan sumbangan kepada sembilan Orang Kurang Upaya dan miskin tegar.
“Saya berharap penduduk di sini dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengurus tanah NCR di kawsan ini dan berundinglah betul-betul dengan Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.
SAO Haji Khalid Andong mewakili Pegawai Daerah Sibu dan Ketua PBB Ranting Sungai Lengan (Cawangan Daro), Dee anak Tam hadir sama.
(Sumber: Utusan Sarawak, 29 Oktober 2011)
