Empat lagi tanah NCR Mukah diwarta
MUKAH, Selasa - Jabatan Tanah dan Survei kini dalam proses mewartakan empat lagi kawasan Rizab Gunasama Bumiputera (NCR) di sini dengan keluasan 255.7 hektar. Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Awang Zamhari Awang Mahmood berkata kawasan yang telibat ialah Kampung Penat, Kampung Sungai Alo, Ulu Sungai Judan & Sungai Napeh dan Sungai Alo & Jalan Mukah-Balingian.
Beliau mengumumkan perkara itu pada penyampaian warta pemberitahuan seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang disempurnakan Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem di Dewan Suarah Mesra di sini semalam.
Sementara itu, katanya, dua kawasan baharu yang akan mula diukur pada penghujung November tahun ini ialah Batang Serdeng dan Kampung Sungai Kut Muara.
Menurut Zamhari, kawasan NCR diwartakan sebagai NCR di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan sehingga kini sejumlah 31 kawasan di negeri ini telah diwartakan di bawah Inisiatif Baharu NCR.
Katanya, hak ke atas tanah NCR yang diwartakan akan ditadbir dan ditentukan oleh undang-undang adat kaum.
Justeru, katanya dalam soal seperti perolehan, penggunaan, pindah milik dan pemindahan hak serta keistimewaan ke atas tanah, atau sebarang bangunan dan struktur di atasnya, akan ditentukan oleh undang-undang adat kaum berkenaan.
Beliau berkata di samping itu, masalah pencerobohan dapat dikurangkan kerana warta itu menerangkan dengan jelas saiz kawasan yang telah diukur dan sempadan kawasan telah ditunjukkan terlebih dahulu kepada pemilik tanah sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai NCR. “ Ini boleh mengelak daripada banyak pertikaian tentang sempadan tanah,” katanya.
Zamhari menambah semua tanah NCR yang sahih di seluruh Sarawak akan diukur di bawah Inisiatif Baharu NCR.
(Sumber: Utusan Sarawak, 19 Oktober 2011)
