Buat permohonan jika tanah NCR lebih luas
KAPIT 12 Okt: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihatkan supaya membuat permohonan menyukat tanah sekiranya tanah yang dimiliki sebenarnya lebih luas darpada dinyatakan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, pertikaian dalam perakta sedemikian perlu dielakkan kerana ia akan merencatkan kerja-kerja menyukat sedangkan kerajaan tidak pernah menolak apa jua permohonan rakyat untuk menyukat tanah NCR yang menjadi milik mereka.
“Jika JTS memberitahu tanah yang hendak disukat ialah 100 ekar (40 hektar) tetapi pemilik beritahu tanah mereka lebih 200 ekar (80 hektar) sebab 100 ekar lagi adalah tanah yang menjadi milik mereka sebelum 1958, maka boleh minta untuk disukat. Semua ini jangan jadi perbalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek pampasan tanah dan warta pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan lapan kawasan NCR yang telah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera.
Dalam perkembangan berkaitan, Adenan menjelaskan, kerja-kerja menyukat tanah adalah berterusan dan mana-mana pemilik yang sudah membuat permohonan diharapkan bersabar menunggu giliran.
Mengulas isu pembayaran pampasan tanah NCR yang diambil untuk tujuan pembangunan pula, beliau mengingatkan JTS supaya membayarnya dengan seberapa segera.
“Kalau sudah ada peruntukan dan pemilik tanah pun sudah setuju, bayarlah, jangan tunggu lama-lama,” tegasnya.
(Sumber: Utusan Malaysia, 13 Oktober 2011)
