Jangan Ada Perbalahan

 

Jangan ada perbalahan


Berterus teranglah dengan pihak JTS tentang perkara sebenar – Adenan

Anthony Punan

KAPIT, Selasa – Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) hendaklah mengelak atau menyelesaikan sebarang perbalahan tentang tanah mereka agar penyukatan ukur keliling NCR berjalan dengan lancar.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk  Amar Haji Adenan Satem menasihatkan, sekiranya penduduk mendapati kawasan tanah NCR mereka yang sepatutnya disukat lebih besar daripada apa yang telah dinyatakan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS), mereka boleh membuat permohonan.

Kerajaan tidak pernah menolak sebarang permintaan atau permohonan untuk menyukat tanah NCR milik rakyat tambahnya.

“Apabila ada masalah sebagai contohnya, JTS memberitahu tanah di sesebuah kampung yang hendak disukat ialah 100 ekar tetapi pemilik tanah NCR pula memberitahu tanah mereka lebih  dari  200 ekar sebab 100 ekar lagi adalah tanah yang telah menjadi milik mereka sebelum 1958.

“Semua ini jangan menjadi perbalahan atau membawa kepada perkelahian dan kawasan yang lebih tersebut, pemilik tanah boleh minta  tambah untuk penyukatan.  Kita (kerajaan) akan cuba menyelesaikan masalah NCR ini sedikit demi sedikit agar ia mampu memberi faedah dan keuntungan kepada masyarakat bumiputera di negeri ini,” katanya.

Adenan berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah dan Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Dewan Suarah Kapit, di sini hari ini.

Sempena majlis terbabit beliau menyampaikan sebanyak lapan buah kawasan NCR di Bahagian Kapit yang telah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Antara kawasan tersebut termasuk rumah panjang, Tuai Rumah (TR) Achanan ak Inang Sungai Amang, Melekun melibatkan sebanyak 74 pintu atua kira-kira 1,000 orang penghuni dengan keluasan 120 hektar.

Manakala, tujuh buah kawasan lagi di Sipan Sesawa/Temalat, Song melibatkan sebanyak 198 pintu dan 1,300 orang penduduk dengan keluasan 528.1 hektar ialah TR Ismail anak Siam, TR Sepawie anak Kalau, TR. Kideng anak Luang, TR Erong anak Geramong, TR Meroman ak Sultan, TR Richard Nujong anak Abit dan TR Rawing anak Pasang.

Adenan juga memberitahu kerja-kerja penyukatan ukur keliling adalah berterusan dan bagi pemilik tanah yang telah membuat permohonan untuk penyukatan, mereka hendaklah bersabar dan akan tiba masanya tanah NCR mereka juga disukat.

Beliau juga meminta penduduk kampung khasnya tuai-tuai rumah atau ketua kampung yang sudah disukat tanah mereka serta telah menerima warta Rizab Gunasama Bumiputera mereka agar menceritakan kepada penduduk kampung lain tentang warta tanah kawasan mereka yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Kita berharap ketua kampung atau tuai rumah yang telah menerima warta tanah hari ini bercerita dengan orang lain atau penduduk kampung lain supaya ikut macam kami (penduduk kampung yang telah disukat tanah).  Kalau tidak setuju dengan kawasan yang akan disukat atau telah disukat, kitak boleh mintak…kerana yang penting tanah disukat dan ia untuk faedah serta memberi keuntungan kepada anak cucu pada masa depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, berhubung isu pemberian  pampasan tanah bagi tanah NCR yang diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan, Adenan mengingatkan JTS supaya membayar dengan seberapa segera pampasan tanah tersebut.

“Kalau sudah ada peruntukan, pemilik tanah pula sudah bersetuju tanah mereka dibayar pampasan, bayar terus jangan tunggu lama-lama,” tegasnya.

Pada majlis terbabit, Adenan turut menyerahkan sebanyak 63 cek pampasan tanah kepada seramai 45 orang pemilik tanah dengan pampasan keseluruhan sebanyak RM3.2 juta bagi tanah mereka yang telah digunakan oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kapit, Norlina Ra’ee memberitahu, JTS kini dalam proses mewartakan empat buah lagi kawasan yang telah selesai diukur iaitu Sg Menuan, Sg Belawai, Batang Rajang/Baloi, Belaga dan Nanga Mujong/Pulau Won Baleh yang melibatkan keluasan 13,618 hektar.

Manakala, pengukuran juga sedang dijalankan di empat kawasan di kawasan Kapit  yang melibatkan keluasan 30,103 hektar.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pentadbiran Sajeli Kipli, Residen Bahagian Kapit Dahim Nadot dan kakitangan JTS, ketua-ketua kaum dan tetamu kehormat yang lain.

 

(Sumber:  Utusan Sarawak,  12 Oktober 2011)

 
image Polls
image Announcement