Banyak Kebaikan Hasil Tanah NCR

 

Banyak kebaikan hasil tanah NCR


BARAM, Khamis – Hampir 3,000 penduduk di sini akan mendapat manfaat daripada Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) apabila Jabatan Tanah dan Servei (JTS) memenuhi permintaan untuk menyukat tanah NCR milik mereka.

Pegawai Tanah JTS Bahagian Miri, Diana Kuwa berkata, operasi kali ini membabitkan tanah NCR milik penduduk di Kmapung Narum, Marudi;Long Peluan, Ulu Baram, Batang Tinjar, Baram dan Long Selapon, Batang Tinjar Dulit.

“Kawasan itu merupakan kawasan seterusnya di Miri yang akan disukat di bawah Inisiatif Baru NCR setelah mereka menyatakan persetujuan semasa hadir ke beberapa siri dialog berasingan awal minggu ini,” kata Diana.

Dalam kenyataannya semalam, Diana memberitahu di Kampung Narum terdapat 63 hektar tanah milik 1,000 orang masyarakat Melayu akan disukat setelah menerima permohonan, sementara di Long Peluan ynag dimiliki 560 pemilik keturunan Kelabit dan Penan dianggarkan 1,065 hektar.

Di Batang Tinjar, Baram, tanah NCR milik 1,267 penduduk keturunan Sebob, Kenyah, Penan dan kayan seluas 1,448 hektar akan disukat dalam jangkamasa terdekat.

Seterusnya, kawasan Long Selapon, Batang Tinjar Dulit yang akan disukat adalah kira-kira 2,706 hektar dan tanah di kawasan ini adalah dimiliki oleh kira-kira 118 orang penduduk,

JTS akan sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada komuniti setempat dalam proses pelaksanaan Inisiatif Baru NCR. Komunikasi dari peringkat bawah ke atas amatlah ditekankan agar masyarakat setempat mempunyai peluang mengutarakan pandangan dan pendapat mereka.

Sebarang aduan dan masalah berhubung Inisiatif Baru NCR boleh disalur kepada JTS dan semua pegawai sentiasa bekerjasama rapat dengan ketua masyarakat bagi mencari penyelesaian kepada sebarang isu berkaitan Inisiatif Baru NCR.

Dalam memastikan Inisiatif Baru NCR ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, JTS menyeru kepada semua pemilik tanah untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Jabatan apabila kerja-kerja penyukatan dijalankan. Salah satu cara ialah dengan membantu juru ukur Jabatan dalam mengenalpasti sempadan tanah NCR mereka. Ini akan membolehkan kerja-kerja penyukatan disiapkan dengan kadar segera.

Jabatan mensasarkan untuk menyiapkan kerja-kerja penyukatan di kawasan semua kawasan itu pada penghujung bulan September tahun ini dan berharap agar dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada pemilik tanah, kerja-kerja penyukatan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Tanah yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Warta Seksyen 6 akan disimpan di Jabatan Tanah dan Survei serta di Pejabat Daerah dan sesalinan diberikan kepada ketua masyarakat setempat sebagai bukti yang kawasan Long Selapon, Batang Tinjar Dulit L.D. telah disukat dan telah menjadi hak milik sah kepada kepada komuniti di sini.

Hak ke atas tanah NCR yang diwartakan ditadbir oleh undang-undang adat kaum masing-masing. Dalam erti kata lain, perkara-perkara yang berkaitan dengan perolehan, pindah milik dan transmisi hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau struktur yang didirikan di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum tersebut. Selain daripada itu, pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah akan jelas diketahui selepas penyukatan diselesaikan.

Penyukatan tanah NCR ini merupakan proses yang berterusan dan akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh iaitu sehingga akhir tahun 2015. Kawasan-kawasan lain di Miri Bakal dikenal pasti untuk penyukatan di bawah Inisiatif Baru NCR. Matlamat utama Inisiatif Baru ini adalah untuk memastikan semua tanah NCR dalam negeri Sarawak disukat dan akhirnya dikeluarkan surat hakmilik bertujuan memberi jaminan pemilik tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini.

(Sumber: Utusan Sarawak , 15 Julai 2011)

 
image Polls
image Announcement