Penduduk Lega Tanah NCR Disukat

 

Penduduk lega tanah NCR disukat


ULU BARAM, Ahad – Kebanyakan peduduk di Long Loyang, Long Peluan dan Long Selapun di sini melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana sudah meluluskan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka untuk disukat dan bakal diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Mereka yang ditemui Utusan Sarawak berkata, apabila penyukatan berkenaan telah dilaksanakan kelak ia pasti akanmenyelesaikan masalah dan beberapa pertikaian antara penduduk termasuk dengan orang luar tentang tanah NCR mereka.

Ketua Kampung, Long Loyang Ulu Tinjar Miri, John Avon menegaska, apabila semua tanah NCR di negeri ini telah disukat ia akan menepis sama sekali tentang fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kerajaan merampas tanah NCR milik rakyat di negeri ini.

“Kami berasa lega dan bagus kalau sudah disukat. Ini kan membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah merampas tanah rakyat. Juga membuktikan bahawa kerajaan mengiktifar tanah NCR kami dan sentiasa membantu serta prihatin menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis dialog Lapangan dengan penduduk Lopng Loyang berkenaan penyukatan tanah NCR di bawah Inisiatif Baru NCR di Long Loyang, Ulu Tinjar Miri di sini, semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kmapung (JKKK) Long Loyang, Joseph Usat pula berkata, penyukatan NCR berkenaan wajar dilaksanakan sebagai bukti kepada siapa yang sebenarnya memiliki serta mempunyai hak ke atas tanah masing-masing.

Menceritakan bagaimana ketika mula mengetahui tentang Inisiatif Baru NCR berkenaan, beliau rasa ragu-ragu kerana banyak angin mendakwa semua itu adalah politik semata-mata.

“Bagaimana setelah mendengar dari radio, televisyen serta membaca surat khabar … baru kami tahu bahawa kerajaan memang benar-benar hendak mengiktiraf seterusnya menyukat tanah NCR warisan nenek moyang kami,” katanya.

Ketua Kmapung Long Peluan, Tuloi Bayo pula berkata, niat kerajaan untuk membantu rakyat dengan menyukat tanah NCR mereka tidak sepatutunya dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan telah memperuntukkan banyak peruntukan untuk penyukatan ini. Semua ini adalah usaha kerajaan yang tidak patut dipolitikkan.

“Seperti kami di Long Peluan, Kami semua telah lama mengetahui inisiatif baru tanah NCR ini. Kami tetap menyokong serta membenarkan tanah kami untuk disukat keran ia untuk kepentingan kami serta anak cucu kami pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Kampung Long Selapun, Bagok Usat pula memberitahu, orang kampung di Long Selapun tidak mahu ketinggalan dalam rancangan kerajaan tersebut.

“Semua penduduk kampung di sini telah sepakat untuk membenarkan tanah mereka disukat kerana takut kalu tidak dibenarkan pada masa ini, selepas ini kita mungkin tidak sempat naik ‘perahu’ (masuk Inisiatif Baru). Kalau tidak sempat sekarang ini, hendak tunggu lagi, mungkin akan mengambil masa yang lama dan kami akan ketinggalan. Kami tidak mahu semua itu terjadi,” katanya.

Pegawai Tanah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri, Diana Kuwa mengetuai rombongannya untuk mengadakan dialog bersama penduduk kampung di Long Loyang. Long Pelaun dan Long Selapun selama tiga hari bagi mendapatkan persetujuan mereka di bawah Inisiatif Baru NCR.

Hasil daripada dialog terbabit, kebanyakan penduduk yang menjadi wakil menyatakan persetujuan bagi memberi laluan kepada Jabatana Tanah dan Survei menyukat tanah mereka.

Penyukatan NCR merupakan proses berterusan dan akan diteruskan sehingga penghujunh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu sehingga akhir 2015.

(Sumber : Utusan Sarawak, 11 Julai 2011)

 
image Polls
image Announcement