Setuju Sukat Tanah : Penduduk Long Loyang, Long Peluan Dan Long Selapun Membenarkan Kerajaan Menyukat Tanah NCR

 

Setuju sukat tanah : Penduduk Long Loyang, Long Peluan dan Long Selapun membenarkan kerajaan menyukat tanah NCR


ULU BARAM, Ahad – Lebih 2,000 penduduk di Long Loyang, Long Peluan dan Long Selapun menyatakan persetujuan mereka untuk membenarkan kerajaan menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka di bawah Inisiatif Baru Tanah NCR.

Pegawai Tanah, Jabatan Tanah dan Survey (JTS) Miri, Diana Kuwa berkata, dengan persetujuan berkenaan, jabatan berkenaan kini sedang dalam perancangan untuk menyukat perimeter bagi tiga kawasan terbabit yang termasuk dalam 24 kawasan tanah NCR di MIri ynag telah diluluskan untuk disukat tahun ini.

Katanya, apabila tanah tersebut telah disukat akan diwartakan sebagai Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Warta Seksyen 6 terbabit akan disimpan oleh JTS serta di Pejabat Daerah dan salinan akan diberikan kepada masyarakat di kawasan terbabit sebagai bukti kawasan terbabit telah disukat dan tanah NCR kawasan berkenaan menjadi hak milik mereka yang sah.

“Bagaimanapun apa yang lebih penting adalah kerjasama yang diberikan oleh penduduk di kawasan ini kepada JTS semasa penyukatan tanah dilaksanakan.

“Sebarang pertikaian tentang tanah hendaklah dielak dan sekiranya ada (pertikaian) hendaklah diselesaikan dengan baik supaya proses penyukatan tanah di kawasan ini berjalan lancer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada dialog Lapangan dengan penduduk Long Loyang, Long Peluan dan Long Selupan berkenaan penyukatan tanah NCR di bawah Inisiatif Baru NCR di Long Loyang, Ulu Tinjar Miri di sini, semalam.

Beliau memberitahu, selepas penyukatan perimeter berkenaan saip dilaksanakan kelak, kemudian dalam fasa kedua baru dilakukan penyukatan tanah secara individu bagi mengeluarkan surat hak milik tanah NCR.

“Apabila penyukatan telah siap dilaksanakan, perkara berkaitan dengan perolehan, pindah milik dan tranmisi hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau struktur yang didirikan di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum tersebut.

“Selain itu, ia juga boleh mengelak serta menyelesaikan pertikaian dan pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka kerana sempadan tanah akan jelas diketahui selepas penyukatan selesai,” tambahnya.

Setelah dipersetujui oleh kebanyakan wakil penduduk yang menghadiri dialog berkenaan, JTS akan menyukat NCR di Long Peluan seluas 1,065 hektar, Long Selapun (2,706 hektar) dan Long Loyang (1,448 hektar).

Sebelum ini, jabatan berkenaan juga mengadakan dialog bersama penduduk di beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Selepin Atas dan Bawah, Sungai Nipa, Lugan Manok, Sungai Temam dan Kampung Melayu Beluru Atas dan Bawah, Sungai Nipa, Lugan Manok, Sungai Temam dan Kampung Melayu Beluru Bakong, Miri juga telah menyatakan persetujuan bagi membenarkan proses penyukatan NCR mereka dilaksanakan.

Terdahulu, beberapa kawasan termasuk kawasan Sungai Patah dan Batang Baram  juga menyatakan persetujuan bagi penyukatan NCR mereka termasuk daripada24 kawasan di Miri yang telah diluluskan untuk disukat tahun ini.

Penyukatan NCR merupakan proses berterusan dan akan diteruskan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu sehingga 2015.

Matlamat utama Inisiatif Baru ini adalah untuk memastikan semua tanah NCR di Sarawak disukat dan dikeluarkan surat hak milik bertujuan memberi jaminan pemilikan tanah NCR dan melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini.

Turut menyertai dialog selama tiga hari berkenaan iaitu Pemabntu Teknik Ukur JTS Miri, Tan Phang Yiew dan Pegawai Awam JTS Miri, Philip Abeng.

(Sumber : Utusan Sarawak, 11 Julai 2011)

 

 

 
image Polls
image Announcement