Jawatankuasa kumpul aduan, pertanyaan berhubung inisiatif baru sukat tanah NCR
KAPIT – Jabatan Tanah dan Survei (JTS).Kapit telah membentuk satu jawatankuasa kerja bertujuan mengumpul sebarang aduan serta pertanyaan daripada orang ramai berhubung inisiatif baru menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Penguasa Tanah dan Survei Kapit Alfian Bawi berkata penubuhan jawatankuasa kerja itu adalah untuk menjawab serta memberi penerangan dengan lebih mendalam kepada orang ramai berhubung inisiatif baru menyukat tanah NCR.
“Kmai akan berusaha mencari penyelesaian berhubung semua masalah yang dibangkitkan oleh orang ramai kepada jawatankuasa kerja ini.
“Komunikasi dua hala di antara jabatan dan penduduk setempat adalah penting agar tidak timbul sebarang salah faham di kalangan penduduk berhubung inisiatif ini. Saya amat mengalu-alukan pandangan serta pertanyaan daripada para penduduk yang masih kurang jelas mengenai pelaksanaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri dialog dengan penduduk di kawasan Nanga Pulang / Antawau dan Nanga Mujong/Pulau Won Baleh, di rumah panjang di sini baru-baru ini.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabung Ijang serta kakitangan JTS.
Alfian turut menyeru penduduk agar memberikan kerjasama penuh kepada kakitangan JTS sepanjang kerja-kerja menyukat dijalankan.
“Saya berharap penduduk membantu kakitangan JTS mengenal pasti sempadan tanah NCR masing-masing. Kami mensasarkan akan menyiapkan kerja-kerja menyukat tanah NCR di kawasan ini pada awal bulan Mei nanti.
“Dengan adanya kerjasama serta bantuan daripada penduduk setempat, kami dapat menyiapkan kerja-kerja menyukat ini dalam tempoh yang ditetapkan dan kami dapat meneruskan usaha menyukat tanah NCR di kawasan lain,” katanya.
Jelasnya lagi, tanah yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Warta Seksyen 6 akan disimpan di JTS serta Pejabat Daerah dan satu salinan akan diberikan kepada ketua masyarakat setempat sebagai bukti kawasan itu telah disukat dan telah menjadi hak milik sah kepada komuniti di sini,” katanya.
Matlamat utama inisiatif baru menyukat tanah NCR ini adalah untuk memastikan semua tanah NCR di negeri ini disukat dan akhirnya dikeluarkan surat hak milik tanah bertujuan mermberi jaminan pemilikan tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini.
(Sumber: Utusan Borneo, 26 Mac 2011)
