Isu Lapuk Tanah Adat Sengaja Dijaja, Kitar Semula Pembangkang

 

Isu lapuk tanah adat sengaja dijaja, kitar semula pembangkang


Oleh Matzidi Dris

Isu tanah bukan suatu yang baru di kalangan penduduk Sarawak yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan kepercayaan, namun sehingga hari ini tetap menjadi isu utama, termasuk dalam perkembangan politik negeri ini.  Malah, setiap kali menjelang pilihan raya negeri mahupun Parlimen, isu tanah yang dianggap lapuk oleh beberapa pihak, terus dijaja dan dikitar semula oleh pihak pembangkang.

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang belum diketahui tarikhnya, semua siri ceramah politik dianjurkan pihak pembangkang sama ada berlangsung di ruang kecil atau dewan, berkisarkan isu tanah.  Ada penceramah terutama yang berasal dari Semenanjung, biarpun masih kabur mengenai isu tanah di negeri ini khususnya bekaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), turut tidak mahu ketinggalan memberi ulasan dengan menuduh kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Sebarang usaha kerajaan negeri untuk membantu pemilik tanah NCR yang kebanyakannya di luar bandar dan pedalaman; ada saja silapnya pada mata pembangkang, sekali gus berusaha membahangkan bara kebencian rakyat terhadap kerajaan demi mencapai cita-cita politik mereka. 

Isu tanah NCR menjadi duri dalam daging di Sarawak sejak dulu lagi.  Malah, bagi masyarakat Bumiputera Sarawak, terutama suku Iban, Orang Ulu, serta Penan, tanah ialah jiwa dan raga mereka.  Rata-rata mereka masih beranggapan tanpa tanah, mereka akan mati.  Tanah bagi mereka lebih daripada sekadar tempat untuk bercucuk tanam tetapi umpama bank, pejabat dan pasar raya di kota.

Sebab tiu, isu tanah yang dianggap sudah lapuk terus dijaja dan dikitar semula oleh pihak  pembangkang terutama ketika berkunjung  ke kawasan penduduk Bumiputera yan banyak memiliki tanah NCR, setiap kali menjelang pilihan raya bagi meraih sokongan rakyat.

Apabila kerajaan mengajak pemilik tanah NCR membangunkan tanah secara perladangan komersial, ia dimomokkan pihak pembangkang sebagai cubaan merampas tanah, penduduk peribumi sehinggai ramai yang terpengaruh dan menolak projek berkenan.

Begitu juga usaha kerajaan negeri mengarahkan kerja mengukur dan mendaftar bagi memudahkan surat hak milik tanah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS), terutama di perkampungan tradisional Melayu, proses yang mengambil masa itu diputar belit pembangkang sebagai taktik kerajaan merampas tanah rakyat.

Pemilik tanah NCR semakin terpengaruh apabila ada badan bukan kerajaan (NGO) luar Negara turut mensensasi dan menggembar ngemburkan isu tanah menerusi blog mereka sehingga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang membidas beberapa NGO terbabit.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, setakat ini hanya sebahagian kecil tuntutan pertikaian NCR masih menunggu keputusan mahkamah dan ternyata laporan dalam blog berkenaan sengaja diperbesar-besarkan untuk mempengaruhi rakyat sehingga membenci kerajaan.

Katanya, dalam proses melaksanakan usaha sama membangunkan tanah NCR, pihaknya kerap berdepan dengan banyak kes tuntutan bertindih membabitkan pemilik tanah NCR sendiri, selain timbul pertikaian antara rumah panjang.  Pada masa sama, ada tuntutan serta tuntutan balas membabitkan tanah NCR tetapi menurut rekod kerajaan, tanah terbabit adalah tanah negeri.

Di Sarawak, ada kira-kira 1.5 juta hektar tanah NCR yang berpotensi untuk dibangunkan, namun sebahagian besar tidak diusahakan sepenuhnya dan tidak produktif.

Sementara itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Miri baru-baru ini  bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju melaksanakan inisiatif mengukur tanah NCR secara keseluruhan dengan kelulusan peruntukan berjumlah RM60 juta, adalah bukit jelas keprihatinan beliau terhadap masalah dan rungutan rakyat Sarawak selama ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan yang bermula akhir tahun lalu dan akan diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10, bertujuan memberi jaminan pemilikan tanah NCR kepada rakyat Sarawak supaya dapat meningkatkan pendapatan dan membawa kesejahteraan ekonomi kepada pemilik tanah berkenaan.

Najib sedar; isu tanah itu tidak harus dibiarkan berlarutan satu lagi bukti bahawa beliau sentiasa mendengar suara dan rintihan masyarakat akar umbi, termasuk golongan minoriti di Sarawak.

Menurut data JTS sejak 1968, kerajaan negeri melaksanakan kerja pengukuran anah NCR dan mengeluarkan surat hak milik mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.  Setakat ini, 190,000 surat hak milik tanah individu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi tanah NCR seluas 270,000 hektar.

Sepanjang tempoh sama, sebanyak 2,577 lot berkeluasan 29,144 hektar diukur dan diwartakan menjadi Rizab Gunasama Bumiputera mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, untuk pelbagai kegunaan seperti rumah panjang, kampung, pertanian dan tanah perkuburan.

Manakala sepanjang tahun lalu, 27 kawasan NCR seluas 21,286 hektar diluluskan kerajaan untuk diukur dan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,  Rizab berkenaan membabitkan 10,880 penuntut tanah NCR  dari 16 kampung dan 68 rumah panjang.

 

(Sumber:  Berita Harian, 15  Mac 2011)

 

 

 

 

 
image Polls
image Announcement