Tambahan RM60 juta bagi laksana penyukatan perimeter NCR: Uggah
NANGA TAROH MUKAH : Kerajaan persekutuan menambah peruntukan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.
Peruntukan itu akan membolehkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) melakukan penyukatan perimeter ke atas 300,000 hingga 400,000 hektar tanah lagi di negeri ini menjelang akhir 2012.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas mengumumkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kadin Sumping, di sini pada petang kelmarin.
“Tahun lalu sebanyak RM20 juta dibelanjakan untuk penyukatan perimeter melibatkan tanah seluas 30,000 hektar di negeri ini. Bahagian Mukah sahaja lebih 3,000 hektar disukat.
“Penyukatan perimeter membolehkan lokasi dan keluasan tanaha NCR direkodkan dengan lebih tepat untuk rujukan pemilik pada masa hadapan,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru pemilik tanah NCr yang tercicir daripada senarai penyukatan perimeter agar memohon JTS berbuat demikian sepanjang tempoh dua tahun ini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Betong itu memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil walau seinci pun tanah rakayat tanpa pembayaran pampasan.
Uggah berkata, BN tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat apatah lagi takut untuk menggotakan janji-janji yang ditabur dalam pilihan raya-pilhan raya terdahulu.
“BN bukan kerajaan yang membohongi rakyat untuk meraih undi seperti pembangkang BN akan mengotakan segala janji yang pernah ditaburkan kepada rakyat.
“Bagaimanapun, rakyat perlu faham. Tidak semua perkara dapat dilakukan BN secara serentak ekoran kekangan peruntukan dan masa. Meskipun begitu, apa yang dijanjikan pasti ditunai,” jelasnya.
Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Micheal Toyad dalam ucapan alu-aluannya pula menepis tuduhan pembangkang yang mengatakan BN mengaplikasikan pendekatan menganakritikan rakyat pedalaman.
“Rakyat dilayan sama rata. Jika terlewat menerima bantuan bukan bermaksud BN lupa. Faktor geografi dan pengurusan perlu dipertimbangkan. Bohong jika menuduh BN tidak adil kepada rakyat pedalaman.
“Tiada rakyat di sini yang langsung tidak merasa nikmat pembangunan BN. Menyedari hakikat itu, teruslah menyokong BN pada pilihan raya negeri akan datang,” tambahnya.
Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Residen Mukah Saudi Narani, Penguasa JTS Bahagian Mukah Unus Tambi dan Pegawai Penerangan Daerah Mukah Muhammad Alwi.
Penghulu Uking Kundang, Tuai Rumah Radin, dua kaunselor Majlis Daerah Dalat/Mukah (MDDM) iaitu Mawar Awang dan Aderson Kalong Pandong turut menghadiri majlis itu.
(Sumber : Utusan Borneo, 15 Mac 2011)