Pengukuran Perimeter Tanah NCR Di Kampung Manggut Mulai Minggu Ini

 

Pengukuran perimeter tanah NCR di Kampung Manggut mulai minggu ini


SRI AMAN: Kerajaan negeri akan melaksanakan kerja-kerja pengukuran perimeter ke atas kira-kira 308 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kampung Manggut, Spaoh bermula minggu ini.

Pegawai Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong David Laeng berkata, Kampung Manggut, Spaoh merupakan kawasan kedua di Betong yang akan disukat di bawah inisiatif baru NCR.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dimiliki majority penduduk Melayu daripada Kampung Manggut dan Kampung Serembang yang memohon agar kawasan mereka turut disukat di bawah inisiatif baru NCR.

“Saya berasa amat gembira kerana sebahagian besar daripada penduduk Kampung Manggut dan Kampung Serembang turut hadir dalam dialog pada kali ini.

“Saya juga berasa amat gembira kerana Jabatan Tanah dan Survei Betong akhirnya dapat memenuhi permintaan penduduk di sini,” katanya semasa menghadiri Majlis dialog inisiatif baru NCR di Masjid darul Ehsan, Kampung Manngut, Spaoh dekat sini kelmarin (Jumaat).

Hadir sama ialah Timbalan residen Betong Fathi Kerni, Penguasa Tanah dan Survei Peggy Ronin Edin, Penghulu Sulaiman Taha, Ketua Kampung Kawi Dollah.

Menurut Mohamad Asri, jabatan sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada komuniti setempat dalam proses pelaksanaan pengukuran inisiatif baru NCR.

“Sebarang aduan dan permasalah berhubung inisiatif baru NCR bolehlah disalurkan kepada saya kerana Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sentiasa bekerjasama rapat dengan ketua masyarakat bagi mencari penyelesaian kepada sebarang isu berkaitan inisiatif baru NCR,” katanya.

Dalam pada itu, David Laeng menyeru semua pemilik tanah agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak jabatan apabila kerja-kerja penyukatan dijalankan.

“Salah satu cara ialah dengan membantu jururkur jabatan dalam mengenal pasti sempadan tanah NCR mereka. Ini akan membolehkan kerja-kerja penyukatan disiapkan dengan kadar segera.”

“Jabatan menyasarkan untuk menyiapkan kerja-kerja penyukatan di kawasan Long Aton, Tinjar dalam tempoh sebulan dan berharap agar dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada pemilik tanah, kerja-kerja penyukatan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Sulaiman Taha bagi pihak penduduk kampung melahirkan penghargaan kepad kerajaan negeri kerana akhirnya menunaikan impian mereka untuk melihat tanah NCR disukat dan seterusnya di wartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Usaha sebegini manunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat di kawasan luar Bandar,” ujarnya.

Penyukatan tanah di bawah inisiatif baru NCR merupakan proses berterusan dan akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu sehingga akhir 2015.

(Sumber : Utusan Borneo, 13 Mac 2011)

 
image Polls
image Announcement