Pemilik Digesa Sukat Tanah NCR

 

Pemilik digesa sukat tanah NCR


KUCHING 11 Mac – Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menyeru pemilik yang memiliki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sah supaya memohon tanah mereka disukat di bawah program Inisiatif Baru NCR.

Jabatan itu memberitahu, setiap permohonan yang dikemukan bakal diteliti dari segi kesahihan tuntutan melalui input daripada Pejabat Daerah serta ketua masyarakat bagi mengenal pasti kaum yang memiliki tanah terbabit.

“Sebelum kerja pengukuran dimulakan, dialog akan diadakan untuk menjelaskan tujuan kerja mengukur, berbincang isu-isu berkaitan serta mendapatkan maklum balas daripada pemilik.

“Sementara itu, pemilik tanah dan ketua masyarakat juga akan diberi pendedahan tentang perlunya bekerjasama kedua-dua pihak ketika kerja-kerja mengukur dijalankan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengenai isu pertikaian hak milik yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Tanah NCR Sungai Lengan, David Majang Sang baru-baru ini, jabatan tersebut memberitahu JTS Sibu sedang meneliti permohonan yang dikemukan beliau.

“Buat masa ini, permohonan beliau itu masih diteliti pihak JTS Sibu, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah untuk mendapatkan kepastian hak milik tanah,” jelasnya.

Pihak JTS juga menasihati agar pertikaian pemilik antara sempadan diselesaikan sebelum kerja-kerjamengukur dijalankan.

Selain itu, katanya, JTS sentiasa bersedia menerima sebarang cadangan dan pendapat yang diutarakan penduduk setempat berhubung kerja-kerja menyukat tanah itu.

“Sebarang aduan dan masalah berhubung Inisiatif Baru NCR boleh diajukan kepada JTS supaya pihaknya dapat bekerjasama dengan ketua masyarakat bagi mencari penyelesaian terhadap sebarang isu yang timbul,” katanya.

(Sumber: Utusan Malaysia, 12 Mac 2011)   

 
image Polls
image Announcement