JTS Betong teruskan usaha ukur tanah NCR
BETONG: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong meneruskan usaha untuk mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik komuniti Iban di kawasan Padeh, Betong di bawah Inisiatif Baru NCR.
Sehubungan itu untuk menjayakan usaha ini JTS Bahagian Betong telah menganjurkan majlis dialog bersama dengan komuniti Iban di bawah pentadbiran Penghulu Uyok Sunang dari kawasan Padeh di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Betong baru-baru ini.
Pegawai JTS Bahagian Betong, David Laeng berkata, komuniti Iban sangat bertuah dan sepatutnya berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah meluluskan kawasan mereka dalam Inisiatif Baru NCR.
Menurutnya, langkah pertama yang diambil oleh JTS adalah untuk menjalankan kerja ukur keliling kawasan NCR mereka dan seterusnya mewartakannya sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri
“Setelah diwarta kelak, salinan warta tersebut akan diserahkan kepada Penghulu dan Tuai-Tuai rumah sebagai bukti daripada Kerajaan bahawa NCR tersebut adalah milik mereka yang sah,” katanya semasa berucap dalam majlis itu, di sini, semalam.
David berkata, seterusnya akan menjalankan kerja-kerja pengukuran lot-lot individu dan sebelum surat hak milik tanah kekal di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri diberi tanpa sebarang bayaran.
“Hasil daripada Inisiatif Baru NCR ini dua buah kawasan iaitu Entebu/Selambong/Bajau di Saratok dan Sungai Ensuri di Beladin telah pun diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau merayu kepada Penghulu, tuai rumah serta pemilik tanah NCR untuk memberi kerjasama kepada JTS dalam menentukan sempadan tanah NCR masing-masing nanti.
Turut hadir dalam dialog itu ialah Penguasa JTS Bahagian Betong, Peggy Ronin Edin, Juru Ukur JTS Betong, Kudie anak Sandak, Penghulu Uyok anak Sunang, Penghulu Francis Empam dan para tuai rumah dari rumah kawasan Padeh.
(Sumber: Utusan Borneo, 29 Mei 2011)
