Pemilik Tanah Tidak Tunjukkan Sikap Mahu Segerakan Kerja-kerja Mengukur: Entri

 

Pemilik tanah tidak tunjukkan sikap mahu segerakan kerja-kerja mengukur: Entri


MIRI: Sesetengah pemilik Hak Tanah Adat Orang Asal (NCR) menunjukkan sikap tidak ambil peduli terhadap usaha kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja mengukur perimeter di tanah mereka sungguhpun langkah itu ada manfaatnya, menurut Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak, Sylvester Entri Muran.

Beliau berkata, pemilik tanah ini yang beliau percayai telah dipengaruhi parti pembangkang tertentu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan sengaja menunjukkan sikap tidak untuk menyegerakannya apabila diminta membantu kerja-kerja pengukuran walaupun dibayar oleh kerajaan untuk berbuat demikian.

“Apabila parti pembangkang atau NGO memberitahunya bahawa mereka (pembangkang dan NGO) boleh mendapatkan hak milik untuk tanah mereka, walaupun mereka tidak boleh, pemilik itu sedia menjalankan kerja-kerja mengukur tanpa sebarang bayaran, “ katanya kepada Bernama di sini semalam. 

Beliau berkata sikap pemilik tanah itu hanya akan melambatkan proses kerja-kerja mengukur dan menyebabkan mereka kehilangan daripada aspek manfaat apabila pemilikan tanah mereka didokumenkan dengan baik.

Selain hak tanah temurun mereka diiktira, tanah-tanah yang telah diukur boleh menjana pendapatan yang lebih baik untuk pemilik tanah apabila dimajukan dengan baik, tambah beliau.

Terdahulu, Entri menyerahkan bayaran kira-kira RM2 juta kepada 215 pemilik tanah NCR yang menyertai projek pembangunan tanah PJP Pelita Ulu Teru NCR di Rumah Panjang Peter Lembang, kira-kira 120 km dari sini. - Bernama

 

(Sumber:  Utusan Borneo, 29 Mei 2011)

 
image Polls
image Announcement