JTS Betong Masih Teruskan Usaha Ukur Tanah NCR

 

JTS Betong masih teruskan usaha ukur tanah NCR


BETONG:  Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong masih meneruskan usaha mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik komuniti Iban di kawasan Padeh, Betong di bawah Inisiatif Baru NCR. 

Bagi merealisasikan dan memberikan penerangan yang lebih itu dalam usaha tersebut, JTS Betong telah pun menganjurkan satu majlis dialog bersama dengan komuniti Iban di kawasan Padeh, Betong yang di bawah pentadbiran Penghulu Uyok Sunang di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Betong baru-baru ini.

Pegawai Tanah, JTS Bahagian Betong, David Laeng berkata, penduduk komuniti Iban sangat bertuah dan sepatutnya berterima kasih kepada pihak Kerajaan kerana telah meluluskan kawasan mereka dalam plan penyukatan Inisiatif Baru NCR.

Dalam taklimatnya, langkah pertama yang diambil oleh JTS adalah untuk menjalankan kerja ukur keliling kawasan NCR mereka dan seterusnya mewartakannya sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Setelah diwarta kelak, salinan warta tersebut akan diserahkan kepada Penghulu dan Tuai-Tuai rumah sebagai bukti daripada kerajaan bahawa NCR tersebut adalah milik mereka yang sah. 

Justeru itu, David Laeng merayu kepada penghulu, tuai-tuai rumah serta pemilik-pemilik tanah NCR agar memberi kerjasama kepada JTS dalam menentukan sempadan tanah NCR mereka.

Usaha sama yang sedemikian secara tidak langsung akan membolehkan dan mempercepatkan kerja-kerja pengukuran ukur keliling dilakukan dikawasan mereka.

Di bawah inisiatif ini dan bagi langkah keduanya, JTS akan menjalankan kerja-kerja pengukuran lot-lot individu dan sekali lagi disarankan agar pemilik tanah NCR dapat memberi kerjasama bagi menentukan sempadan tanah masing-masing.

Hasil daripada inisiatif ini, JTS akan mengeluarkan surat hak milik tanah kekal di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Tanah Negeri tanpa mengenakan apa-apa bayaran.

Hasil daripada Inisiatif Baru NCR ini, dua buah kawasan ini, dua buah kawasan iaitu Entebu/Selambong/Bajau di Saratok dan Sungai Ensuri di Beladin telah pun diwartakan sebagai Rezab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Realitinya Kerajaan Negeri melalui JTS akan terus melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah NCR dan mengeluarkan surat hak milik tanah mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri semenjak dari dahulu hingga sekarang.

“Bagaimanpun menerusi inisiatif baru sejak bulan Julai lalu, Kerajaan Negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan besetuju untuk meneruskan kerja pengukuran lebih meluas demi memastikan rakyat Bumiputera dalam kawasan pedalaman menikmati faedahnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penguasa Tanah dan Survei bahagian Betong, Peggy Ronin Edin, Penghulu Uyok Sunang, Penghulu Francis Empam, ketua masyarakat  kawasan Padeh, kakitangan JTS serta 200 orang penduduk kawasan Padeh dan sekitarnya.

 

(Sumber:  Utusan Borneo, 24 Mei 2011)

 
image Polls
image Announcement