Rahsia Pembangkang Terbongkar

 

Rahsia pembangkang terbongkar


Oleh Adum Liu

BEKENU, Ahad – Ketidaksepakatan parti pembangkang untuk membela nasib rakyat terserlah apabila rahsia mereka sering bertelingkah terbongkar.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata ini dibuktikan dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) keluar daripada pakatan bersama DAP, Parti Keadilan Rakyat  (PKR) dan PAS.

“Apa yang rakyat lihat sekarang ialah mereka  sah tidak sehaluan.  Ini berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan semangat setia kawan dan politik menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Kesyukuran dan Penghargaan BN  dan Masyarakat DUN Bekenu di sini, hari ini. 

Tengah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, rakyat Sarawak tidak menerima politik yang tidak menghormati adat resam dan sopan santun dibawa pembangkang dari luar ke negeri ini. 

Katanya, ini menyebabkan ia mudah dimanipulasi dan disalahertikan oleh golongan yang menghasut dan memutarbelitkan fakta. 

“Kerajaan sentiasa memberi yang terbaik untuk rakyat, namun tidak semua kehendak yang disampaikan kerajaan difahami oleh rakyat. 

“Dasar kerajaan disampaikan dengan baik sekali, namun ideologi berbeza oleh segelintir pihak yang menyalahertikan dan tidak berlandaskan pada dasar bagi mengelirukan rakyat serta meraih sokongan seperti yang berlaku semasa pilihan raya negeri baru-baru ini,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan pilihan raya lalu amat berbeza dengan yang sebelum ini kerana pelbagai unsur politik menunjukkan sikap kurang ajar pembangkang di kawasan beliau. 

Katanya, selama enam penggal beliau bertanding di kerusi DUN  Bukit Sari, tidak pernah melihat berlaku politik ganas dan samseng pihak pembangkang ke Sarawak yang cuba merampas kawasan DUN  secara kasar.

Pembangkang yang sebenarnya mahu memecah belah perpaduan rakyat supaya benci kepada pemimpin,  Kalau pembangkang menang sudah tentu negeri ini akan rosak, mereka bukannya hendak memerintah negeri ini dengan baik dan tidak memikirkan kebajikan rakyat, malah mereka tidak mampu untuk membantu rakyat, katanya.

Terdahulu ADUN N.61 Bekenu Rosey Yunus berkata, jentera komponen BN daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) meneruskan usaha kerjasama untuk mencapai kejayaan pada pilihan raya parlimen nanti. 

“Usaha dan komitmen rakyat yang erat serta tidak kenal erti penat lelah, siang malam dan hujan serta panas telah membawa kemenangan kepada BN Bekenu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang memberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi DUN Bekenu dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong BN hingga mendapat kemenangan dua pertiga kerusi DUN pada pilihan raya lalu,” jelasnya.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pembangunan Tanah dan Menteri Muda Bekalan Air Sylvester Enteri, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat dan ADUN Batu Danau Paulus Ngumbang.

Awang Tengah turut menyampaikan pelan NCR – Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Terhad Bekenu yang merupakan kampung pertama di Bahagian Miri mendapat penyukatan NCR pada September 2010.

 

(Sumber:  Utusan Sarawak, 9 Mei 2011)

 
image Polls
image Announcement