Selesaikan Dahulu Tuntutan Bagi Memudahkan Penyukatan Tanah

 

Selesaikan dahulu tuntutan bagi memudahkan penyukatan tanah


BINTULU:   Sebarang pertelingkahan atau tuntutan hak terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) perlu diselesaikan terlebih dahulu di antara pemilik-pemiliknya bagi memudahkan Jabatan Tanah dan Survei melaksanakan penyukatan tanah.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Bintulu, Ramzi Abdillah berkata, sama ada berlaku pertelingahan berkaitan tindakan pihak lain mengusahakan tamanan di tanah NCR milik penduduk, ia perlu dibincangkan dan diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak sebelunm penyukatan dapat dilakukan. 

“Tetapi kami memberi jaminan bahawa tanah NCR milik penduduk kampung akan tetap disukat seperti yang telah diluluskan,” ujarnya semasa menjawab soalan penduduk pada sesi dialog lapangan Inisiatif Baru NCR di surau lama Kampung Kuala Segan, semalam.

Ramzi berkata, kawasan Sungai Sengab merupakan kawasan keenam di Kampung Kuala Segan yang akan disukat di bawah Inisiatif Baru NCR Bahagian Bintulu.

“Kawasan tambahan itu dianggarkan berkeluasan 181 hektar,” katanya sambil menambah dialog semalam merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk memberi penerangan kepada penduduk mengenai Inisiatif Baru NCR yang akan dilaksanakan di kawasan mereka. 

Beliau berkata,ia juga lanjutan daripada Dialog Meja Bulat pada 21 April lalu di Pejabat Residen Bintulu sebagai usaha memberi penjelasan agar kerja-kerja pengukuran tanah penduduk tidak menimbulkan masalah. 

Justeru, Ramzi berkata, kerjasama penduduk kampung amat dituntut supaya mereka dapat memberikan maklumat yang jelas berkenaan lokasi yang perlu disukat, memberi bantuan kemudahan berkaitan dan membantu menerangkan kepada penduduk lain mengenai tujuan penyukatan tanah mereka. 

“Ini merupakan polisi yang menguntungkan kepada Bumiputera yang memiliki tanah NCR,” jelasnya. 

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan kerja-kerja penyukatan di kawasan terbabit pada pertengahan Jun tahun ini dan berharap dengan kerjasama penduduk, kerja penyukatan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Penduduk juga digalakkan untuk melihat kerja-kerja pengukuran yang dilakukan oleh pihak kami,” jelasnya. 

“Tanah yang telah disukat akan diwarta sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.  Setelah diwartakan maka kawasan ini telah menjadi kawasan yang sah dimiliki oleh penduduk (Kampung Kuala Segan).” 

Menurutnya lagi, penyukatan tanah NCR merupakan proses berterusan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). 

“Matlamatnya agar semua tanah NCR di negeri ini disukat dan dikeluarkan surat hak milik bagi memberi jaminan pemilikan tanah NCR yang sah sekali gus melindungi hak pemilik tanah NCR di Sarawak,” katanya. 

Ramzi turut mengingatkan penduduk agar berhubung terus dengan pihaknya sekiranya menghadapi sebarang masalah dan kemusykilan berkaitan pelaksanaan penyukatan tanah di kawasan mereka.

 

(Sumber:  Utusan Borneo, 7 Mei 2011)

 
image Polls
image Announcement