Tanah NCR Milik Kaum Bidayuh Akan Digazet

 

Tanah NCR milik kaum Bidayuh akan digazet


KUCHING, Khamis – Dalam tempoh dua tahun lagi semua tanah hak adat bumiputera (NCR) milik kaum Bidayuh akan didokumentasi dan digazetkan, kata Penasihat Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) Dato Sri Michael Manying Jawong.

Menurut Manyin, meskipun DBNA tidak mempunyai autoriti dalam penyukatan tanah NCR, namun hasil kerjasama erat dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, ia jelas banyak membantu dalam mempercepatkan proses penyukatan tanah itu.

Malah katanya, penduduk di dua buah perkampungan Bidayuh iaitu Kampung Skuduk, Padawan dan Kampung Pisa, Bau dijangka menerima geran tanah masing-masing dalam tempoh terdekat ini selepas kerja-kerja penyukatan selesai dijalankan.

“Kita (DBNA) tidak pernah mengatakan memiliki autoriti untuk menjalankan kerja-kerja penyukatan tanah NCR. Ia hanya propaganda pembangkang untuk mengelirukan pemikiran komuniti Bidayuh.

“Apa yang penting, kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan JTS atas bantuan mereka selepas kita mengemukakan cadangan penyukatan tanah NCR ini untuk masyarakat Bidayuh. Ini kerana tanah NCR sahaja merupakan harta pusaka kita,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Sijil Penyiapan Praktikal Dewan Serbaguna DBNA di sini malam semalam.

Dalam pada itu, Manyin mahu masyarakat Bidayuh terus menyokong pucuk kepimpinan kerajaan masa kini ke arah mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, jika ingin terus maju dalam pelbagai aspek, komuniti Bidayuh tidak kira latar belakang harus bekerjasama antara satu sama lain baik melalui persatuan, pertubuhan dan melalui dewan perniagaan yang sedia ada.

“Tanpa adanya kerjasama dan persefahaman antara masyarakat maka agak sukar bagi kita (Bidayuh) untuk mencapai status masyarakat berpendapatan tinggi.

“Kita juga harus sanggup mengubah cara bekerja yang tradisional kepada cara bekerja yang moden kerana keadaan persekitaran dunia telah berubah kerana dunia sekarang adalah dunia tanpa sempadan,” katanya.

(Sumber : Utusan Sarawak, 22 April 2011)

 
image Polls
image Announcement