Pewartaan rizab perimeter tanah NCR melindungi hak pemilik, kata Entulu
SELANGAU: Penyerahan pewartaan rizab perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) jelas membuktikan komitmen dan jaminan kerajaan untuk melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, matlamat utama inisiatif baru NCR ialah untuk memastikan semua tanah NCR disukat dan akhirnya dikeluarkan surat hak milik.
“Ia jelas satu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi jaminan pemilikan tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Pewartaan Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian) Rumah Takin dan Rumah Maling di Sungai Tajam, Batang Oya, semalam.
Hadir sama ialah calon Barisan Nasional (BN) BN kerusi Tamin, Joseph Mauh Ikeh; Pegawai Daerah Selangau, Wan Akil Wan Ahmad Bujang, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sibu, Christina Lau dan Pemanca Robert Nanta.
Entulu berkata, atanah NCR yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Satu salinan dokumen pewartaan ini diberikan kepada tuai rumah sebagai bukti dan telah menjadi hak milik kepada komuniti di sini,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Selangau itu berkata, penyukatan tanah NCR merupakan proses yang berterusan dan akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu akhir tahun 2015.
Kawasan Sungai Tajam, Batang Oya, Stapang merupakan kawasan pertama di Sibu dengan kawasan 178 hektar, disukat di bawah inisiatif baru tanah NCR.
Kerja-kerja penyukatan perimeter taanah di kawasan tersebut mula di jalankan pada September 2010 dan siap pada 16 Oktober tahun lepas. Tanah kemudian digazet di bawah Rumah Takin dan Rumah Maling.
(Sumber : Utusan Borneo, 16 April 2011)
