Jaminan untuk tanah NCR: Jabatan sukat permohonan hak milik tanah NCR
Oleh Hassan Omar, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
Kuching: Kerajaan negeri tidak pernah merampas Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk pembangunan, apatah lagi diserahkan kepada syarikat gergasi perladangan atau perumahan tanpa mengambil kira sensitiviti kaum pribumi.
Sebaliknya, sejak kerja mengukur Tanah NCR dilaksanakan pada 1966 hingga sekarang, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sentiasa prihatin terhadap hak milik tanah dan jika ada pun tanah NCR diambil alih, ia dilaksanakan mengikut Kanun Tanah Negeri Sarawak.
Malah, menurut Timbalan Pengarahnya Sajeli Kipli, jabatan ini menghormati pemilikan tanah NCR yang diteroka masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak sebelum penguasaan British di negeri ini.
“Tanah itu diteroka masyarakat Bumiputera sejak sebelum kedatangan Rajah Brooke lagi. Kerajaan negeri amat menghormati hak Bumiputera. Bagaimanapun mereka harus membuktikan mereka yang menerokai tanah itu, membina penempatan dan mengusahakan pertanian serta memelihara penyelenggaraannya sebelum diberi hak milik. Setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan hak milik tanah NCR akan disukat.
Hanya selepas jabatan berpuas hati ia tanah NCR Surat Hak Milik akan dikeluarkan,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui dipejabatnya, di sini semalam.
Sajeli berkata, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka.
Katanya, tanah dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.
Jabatan tidak boleh mengambil tanah NCR sesuka hati tanpa membayar pampasan. Jika tanah diperlukan untuk tujuan pembangunan, maka kerajaan menawarkan pampas an mengikut nilai pasaran semasa.
“Jika pemilik berasa pampasan tidak setimpal, mereka boleh mengemukakan tuntutan di mahkamah. Jabatan tidak boleh mempengaruhi keputusan hakim. Biar mahkamah yang menentukannya,” katanya sambil menjelaskan ada 1.5 juta hektar tanah NCR di Sarawak yang perlu disukat dan dimasukkan dalam Daftar Tanah Jabatan Tanah dan Survei.
“Sejak September tahun lalu, kami meneruskan kerja pengukuran tanah NCR dalam dua peringkat berdasarkan Inisiatif Baru Tanah NCR, iaitu melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM20 juta tahun lalu dan RM30 juta tahun ini,” katanya.
Di Serian, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Micheal Manyin, berkata masalah pemilikan tanah peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) akan diselesaikan selewat-lewatnya Julai ini membabitkan baki 794 peserta.
“Hingga kini sebanyak 2,138 surat hak milik tanah sudah diberikan kepada peserta SALCRA…. kita tak mungkir janji. Pembahagian geran sejajar peraturan ditetapkan iaitu tanah berkenaan tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain dalam tempoh 10 tahun,”katanya pada majlis penyerahan surat hak milik tanah kepada 462 peserta SALCRA.
(Sumber: Berita Harian, 2 April 2011)