Baki 1.5 juta hektar NCR disukat dalam dua tahun
KUCHING, 16 Feb - Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan menyelesaikan baki kerja-kerja menyukat tanah hak adat bumiputera (NCR) sebanyak 1.5 juta hektar merangkumi kawasan dari Lawas hingga Lundu menerusi peruntukan RM60 juta dalam tempoh dua tahun.
Menteri Muda Perancangan Sumber dan Pengurusan Sarawak, Mohd Naroden Majais berkata, kerja-kerja penyukatan tersebut kini sedan dilaksanakan dengan dijangka siap pada tahun depan.
Bagaimanapun menurutnya, kerja-kerja penyukatan tanah NCR itu agak perlahan ketika ini memandangkan berlakunya kekurangan tenaga kerja untuk tujuan berkenaan.
“Meskipun projek itu dalam pelaksanaan, kekurangan tenaga kerja ini sedikit sebanyak melambatkan pelaksanaan projek itu.
“Malah, kita bukan sahaja menumpukan perhatian dalam satu-satu projek sahaja kerana banyak lagi projek seperti kerja-kerja penyukatan jalan, perparitan, bangunan dan sebagainya turut dilakukan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai beberapa projek berkaitan kerja-kerja penyukatan tanah NCR yang dilaporkan tergendala selepas merasmikan Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Kebangsaan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sarawak di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Naroden berkata, kerajaan kini dalam proses menambah bilangan tenaga kerja selari dengan permintaan wakil rakyat di kawasan yang memohon supaya kerja-kerja penyukatan dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, setiap kerja penyukatan di sesetengah kawasan aak berbeza dengan tempat yang lain kerana ia bergantung kepada keadaan tempat dan jumlah tenaga kerja.
Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak pembangkang cuba menghasut pemikiran rakyat untuk tidak menerima kerja-kerja itu dilakukan di tanah mereka.
“Kerajaan tidak pernah memaksa kerja-kerja penyukatan dilakukan di kawasan penduduk, namun jika rakyat tidak mahu projek itu dilaksanakan di tempat mereka, mereka sendiri juga yang akan rugi dan bukannya kerajaan,” ujarnya.
Mohd. Naroden menambah, setelah kerja-kerja penyukatan tanah terutamanya milik persendirian dilakukan, ia berupaya meningkatkan nilai tanah itu serta menarik minat pelabur luar.
“Kebanyakan pelabur luar mahukan kepastian terlebih dahulu mengenai status tanah itu sebelum melakukan sesuatu pelaburan terhadap tapak tanah terbabit,” katanya.
(Sumber: Utusan Malaysia, 17 Februari 2011)
