Kerajaan Sentiasa Utamakan Keperluan Rakyat, Berusaha Memenuhi Permintaan Mereka

 

Kerajaan sentiasa utamakan keperluan rakyat, berusaha memenuhi permintaan mereka


KAPIT: Kerajaan sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dan berusaha untuk memenuhi permintaan mereka. 

Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata penyukatan tanah di bawah inisiatif baru tanah hak Adat Bumiputera (NCR) merupakan tanda kerajaan prihatin dengan kehendak rakyat yang inginkan agar hak mereka diiktiraf. 

“Program Penyukatan tanah di bawah inisiatif baru NCR ini merupakan jawapan kepada permintaan rakyat yang sekian lama inginkan agar tanah NCR mereka diberikan surat.

“Saya selaku wakil rakyat mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud atas keprihatinan mereka dalam merealisasikan permintaan serta kehendak rakyat,” katanya semasa Majlis Pelancaran Penyukatan tanah di bawah inisiatif baru NCR di Rumah Garai, Sungai Menuan di sini semalam. 

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan untuk semua rakyat sesuai dengan slogan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan oleh Najib. 

“Sekiranya terdapat sebarang rasa tidak puas hati, sebarang pertanyaan mahupun penjelasan lanjut berhubung perkara menyukat tanah NCR ini, saya menasihati  agar penduduk berjumpa serta berbincang sendiri dengan pihak JTS.

Beliau menjelaskan setiap tanah NCR akan disukat secara berperingkat-peringkat.

Katanya peringkat survei perimeter hanya untuk menentukan sempadan antara tanah NCR dengan tanah kerajaan negeri.

“JTS mempunyai polisi serta perancangan mereka sendiri dalam melaksanakan penyukatan tanah ini dan saya berharap agar semua penduduk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak JTS bagi membolehkan mereka menjalankan tugas mereka lancar tanpa adanya sebarang  masalah,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Garai.

Hadir sama Penguasa Tanah dan Survei Alfian Bawi, Temenggung Datuk Kenneth  Kanyan, Pegawai Daerah Simon Japut Tiok, SAO Robert Liman, Timbalan Walikota Majlis Daerah Kapit Kaunselor Jefferson Jamit, dan Penyelia Kanan KEMAS Ambrose Abong.

 

(Sumber:  Utusan Borneo, 14 Februari 2011)

 
image Polls
image Announcement