Sukat Tanah: Pemilik Harus Beri Kerjasama – JTS Sukat Tanah NCR Di Sempadan Matadeng-Balingian –Zon A Mukah Bermula Jumaat

 

Sukat tanah: Pemilik harus beri kerjasama – JTS sukat tanah NCR di sempadan Matadeng-Balingian –Zon A Mukah bermula Jumaat


Oleh Awangku Khaider 

MUKAH: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah dalam proses melaksanakan penyukatan selaras Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melibatkan kawasan seluas 1,108 hektar di antara sempadan Matadeng-Balingian-Zon A Mukah yang dijadual bermula Jumaat ini (14 Januari).

Demikian menurut Pegawai Tanah JTS Mukah Bujang Radin pada sesi dialog dengan ketua-ketua kaum, tuai-tuai rumah serta lebih 200 pemilik tanah NCR di Rumah Budor Indit, Jalan Bayan Hulu kira-kira 60 kilometer dari Bandar Mukah kelmarin.

Dialog anjuran JTS Mukah itu turut dihadiri  Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri Raymund Joseph Tanin yang mewakili Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad, Penghulu Iju Tutong dan Tuai Rumah Budor.

“Penyukatan ini diadakan selaras Inisiatif Baru NCR yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tahun lalu.  Justeru, JTS Mukah berharap pihak terbabit (pemilik tanah NCR) supaya memberi kerjasama penuh untuk melancarkan kerja-kerja penyukatan ini. 

“Objektif penyukatan ini ialah untuk memberikan lebih keselamatan, perlindungan serta nilai kepada tanah NCR.  Penyukatan ini juga merupakan antara usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat,” jelasnya.

Iju dalam ucapan alu-aluan beliau pula menyeru pemilik tanah NCR di kawasan berkenaan agar sentiasa bersatu hati, memberikan kerjasama, bersikap memahami dan bertoleransi kepada kakitangan JTS Mukah sepanjang tempoh penyukatan. 

“Memandangkan inisiatif yang dilakukan kerajaan ini menguntungkan kita selaku pemilik tanah NCR dalam jangka panjang, kerja-kerja penyukatan perlulah disokong.  Jangan ada perselisihan faham kerana perkara sebegini akan menyulitkan tugas kakitangan JTS Mukah. 

“Pada masa sama, saya mahu mengingatkan pemilik tanah NCR supaya tidak mendengar khabar angin atau dakyah songsang yang disampaikan oleh pihak-pihak tertentu berkepentingan peribadi mengenai penyukatan ini,” tegasnya. 

 

(Sumber:  Utusan Borneo,  13 Januari 2011)

 
image Polls
image Announcement