Lapor segera jika tanah NCR diceroboh
Adum Liu
SUAI/NIAH, Rabu – Kawasan Rumah Panjang Suai/Niah yang meliputi sekitar keluasan 604.67 hektar merupakan kawsan ketiga dan yang pertama tahun ini di Miri akan disukat di bawah Inisiatif Baru NCR (IBN), kata Pegawai Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri Mohamad Asri Haji Jaya hari ini.
Katanya, keluasan 604.67 hektar untuk tiga rumah panjang iaitu seluas 188.67 untuk Rh. Boniface Bada dan 416 hektar kawasan Rh. Edward Chai dan Rh. Emperang Bayuk dengan pemilik seramai 788 penduduknya.
“Kawasan Suai/Niah Kawasan ini telah dipohon untuk penyukatan oleh penduduk kaum Iban di kawasan ini dan saya amat gembira kerana JTS kini akhirnya dapat memenuhi permintaan penduduk di sini.
“JTS akan sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada komuniti setempat dalam proses pelaksanaan IBN, komunikasi driperingkat bawah ke atas amatlah ditekankan agar masyarakat setempat mempunyai peluang mengutarakan pandangan dan pendapat mereka,” jelasnya.
Asri, sebarang aduan dan permasalahan berhubung IBN, bolehlah disalurkan kepada pihaknya kerana JTS sentiasa bekerjasama rapat dengan ketua masyarakat bagi mencari penyelesaian kepada sebarang isu berkaitan IBN.
Dalam memastikan IBN ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, JTS menyeru kepada semua pemilik tanah untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Jabatan apabila kerja-kerja penyukatan dijalankan bermula minggu ini.
Salah satu cara ialah dengan membantu juru ukur jabatan dalam mengenalpasti sempadan tanah NCR mereka. Ini akan membolehkan kerja-kerja penyukatan disiapkan dengan kadar segera, tambahnya.
“Jabatan mensasarkan untuk menyiapkan kerja penyukatan di kawsan Suai/Niah ini yang terdiri daripada tiga buah rumah panjang dalam tempoh 18 hari bagi rumah Boniface Bada.
“Manakala bagi rumah Edward Chai dan rumah Emperang Bayuk ialah 42 hari dan berharap agar dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada pemilik tanah, kerja-kerja penyukatan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan”, jelasnya dengan kepastian memberi kesenangan kepada rakyat di sini kelak.
Tanah yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Warta Seksyen 6 akan disimpan di JTS serta di Pejabat Daerah dan sesalinan diberikan kepada ketua masyarakat setempat sebagai bukti yang kawasan ini telah disukat dan telah menjadi hak milik sah kepada komuniti di sini.
Hak ke atas tanah NCR yang diwartakan ditadbir oleh undang-undang adat kaum masing-masing. Dalam erti kata lain, perkara yang berkaitan dengan perolehan, pindah milik dan transmisi hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau struktur yang didirikan di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum tersebut.
Selain daripada itu, pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka kerana sempadan tanah akan jelas diketahui selepas penyukatan diselesaikan.
Penyukatan tanah NCR ini merupakan proses yang berterusan dan akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh iaitu sehingga akhir tahun 2015.
Matlamat utama IBN ini adalah untuk memastikan semua tanah NCR dalam negeri Sarawak disukat dan akhirnya dikeluarkan surat hakmilik bertujuan memberi jaminan pemilikan tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilk tanah NCR di negeri ini.
Hadir bersama pada sesi dialog dan penyukatan tanah di sini ialah Tr. Boniface Bada, Tr. Edward Chai, Tr. Emperang Bayuk dan Pegawai Unit Perhubungan Awam JTS Philip Abeng serta anggota polis Batu Niah.
(Sumber: Utusan Sarawak, 13 Januari 2011)
