Isu Pelanjutan Surat Hakmilik Tanah

 

Isu Pelanjutan Surat Hakmilik Tanah


KENYATAAN AKHBAR
OLEH
Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hassan
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II
dan Menteri Kemudahan Awam

Saya merujuk kepada Keratan Akhbar di “The Borneo Post” bertarikh 12.11.2008 berhubung dengan memorandum tanah yang bertajuk “Change to Sarawak Land Code” yang dikemukakan oleh PKR kepada Setiausaha Dewan Undangan Negeri pada 11.11.2008 berkaitan dengan isu pelanjutan surat hakmilik tanah.

Memorandum tanah tersebut memohon supaya mereka sebagai pemilik tanah boleh membuat perlanjutan tempoh hakmilik tanah 20 tahun sebelum tamat tempoh bagi membolehkan tanah mereka dicagar kepada institusi kewangan. Mereka juga memohon untuk mendapatkan surat hakmilik tanah bertempoh 99 tahun atau 999 tahun yang kononnya diamalkan oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Dasar berhubung dengan perlanjutan surat hakmilik tanah telah diumumkan oleh saya pada 26.5.2007 dan juga di sidang akhbar pada 26.11.2007. Dasar yang diumumkan jelas merangkumi perkara-perkara yang telah dibangkitkan yang mana:

1) Permohonan untuk melanjutkan tempoh surat hakmilik tanah boleh buat pada bila-bila masa sebelum tempoh hakmiliknya tamat. Ini bermakna
permohonan untuk melanjutkan surat hakmilik tanah boleh dibuat walaupun tempoh tamat surat hakmiliknya masih melebihi daripada 20 tahun.

2) Dasar yang diumumkan juga membenarkan pemohon memilih sama ada melanjutkan tempoh hakmilik kepada 60 tahun ataupun 99 tahun.

Jelas daripada dasar perlanjutan surat hakmilik tanah yang telah saya umumkan, Kerajaan sememangnya sudah ada peruntukan yang membenarkan perlanjutan tempoh dibuat pada bila-bila masa sebelum surat hakmilik tamat tempoh. Malah, dasar ini membenarkan perlanjutan dibuat lebih awal daripada 20 tahun, jauh lebih baik daripada apa yang mereka pohon. Begitu juga dengan tempoh hakmilik. Pemilik mempunyai pilihan sama ada melanjutkan tempoh untuk 60 tahun atau 99 tahun tertakluk kepada pembayaran premium yang lebih. Untuk makluman umum, menurut rekod Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, peratusan permohonan ditolak adalah kecil iaitu hanya 2.9% daripada 10,084 permohonan yang diterima sejak 26.5.2007 sehingga 30.9.2008. Penolakan permohonan ini adalah atas sebab tanah diperlukan untuk pembangunan Kerajaan.

Dasar perlanjutan surat hakmilik tanah yang telah dilaksanakan telah digubal dan diperkenal setelah Kerajaan membuat kajian perbandingan dengan dasar perlanjutan surat hakmilik yang diamalkan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Mengenai tempoh 999 tahun yang kononnya diamalkan oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, sepanjang pengetahuan saya, tiada peruntukan khusus dalam Kanun Tanah Negara untuk mengeluarkan tempoh surat hakmilik tanah untuk 999 tahun. Sebaliknya, Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukan tempoh hakmilik diberi tidak melebihi 99 tahun.

Memorandum tanah yang dikemukakan oleh PKR telah ditandatangani oleh tiga (3) orang di mana nombor kad pengenalan mereka telah dicatatkan walaupun tanpa nama. Penyemakan rekod di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berdasarkan kad pengenalan tersebut mendapati:-

1) mereka yang menandatangani memorandum tersebut beralamat di Kampung Luak Baru dan Kampung Lusut, Miri.

2) kawasan Kampung Luak Baru dan Kampung Lusut, Miri pernah dikeluarkan surat hakmilik kekal (perpetuity) apabila kawasan ini disukat di bawah operasi
penyelesaian sekitar tahun 1970-1980an.

3) seorang daripada mereka tidak mempunyai apa-apa hartanah, seorang mempunyai sebidang hartanah manakala seorang lagi memiliki tujuh bidang
tanah. Kesemua tanah ini dkeluarkan surat hakmilik tanah antara tahun 1976 hingga tahun 2004.

4) Kesemua tanah yang dipunyai mereka masih mempunyai tempoh yang panjang iaitu melebihi 20 tahun termasuk dua daripadanya merupakan surat hakmilik kekal (perpetuity).

5) Sebidang daripada tanah yang dimiliki mereka telah dicagarkan kepada Public Bank Berhad melalui L9182/2007 bertarikh 8.8.2007.

Menurut keratan akhbar, memorandum ini telah dikemukakan oleh wakil PKR diiringi bersama oleh Yang Berhormat Encik Dominique Ng. Sebagai seorang peguam beliau sepatutnya sudah faham dan mengetahui dasar ini. Oleh itu, memorandum ini tidak wajar dan tidak sepatutnya ditimbulkan dan dijadikan satu isu. Saya rasa ini adalah satu lagi helah pihak yang tidak betanggungjawab untuk mempolitikkan isu tanah dan mengelirukan rakyat.

 
image Polls
image Announcement