Guna Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri : Pengukuran Perimenter Ke Atas Tanah NCR Ketika Ini Mengelirukan Rakyat

 

Guna Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri : Pengukuran perimenter ke atas tanah NCR ketika ini mengelirukan rakyat


Oleh Patricia Gari

Kuching: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyarankan agar kerajaan negeri mengguna pakai Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri untuk mengeluarkan surat hak milik tanah bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Pengerusi PKR Negeri Baru Bian semalam berkata pengukuran perimeter yang dilakukan ke atas tanah NCR ketika ini terutama tanah NCR (Pemakai Menua) dan tanah rizab penduduk asal (Pulau Galau) hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Menurutnya, menerusi kerja-kerja mengukur keliling tanah NCR yang mengguna pakai peruntukan dalam Seksyen 6(3), kerajaan cuba menipu dan megelirukan penduduk asal dengan mengatakan tanah rizab penduduk asal (Native Communal Reserves) adalah sah dan diiktiraf dari segi undang-undang pemilik kepada tanah NCR mereka.

Beliau menambah, di bawah Sesyen 6(3) Kanun Tanah Sarawak, jelas menyatakan tanah rizab penduduk peribumi adalah merangkumi tanah NCR dan tanah negeri tetapi perkara itu tidak dijelaskan dengan terperinci oleh pegawai Jabatan Tanah dan Survei (JTS) kepada penduduk kampung sebelum kerja-kerja pengukuran dilakukan.

“Disebabkan surat hak tanah yang dikeluarkan selepas ukuran perimeter adalah hak bersama dan lazimnya ketua kaum diberi kepercayaan untuk memegangnya, maka cenderung berlaku penyelewengan, ketua kaum menjualnya kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa mendapat persetujuan daripada penduduk kampung.

“Inilah yang dikhuatiri oleh penduduk kampung. Sebagai contoh di kawasan saya, penduduk keliru apabila tanah perkuburan dikatakan tanah negeri sedangkan buktinya cukup jelas, kewujudan kubur yang berpuluh tahun itu adalah tanah NCR,” jelasnya pada sidang media di pejabat PKR Cawangan Stampin di sini, semalam.

“Justeru Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak harus diguna pakai bagi menggantikan Seksyen 6(3) yang diguna pakai sekarang,” tambahnya.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Ba’kalalan berkata demikian sebagai membalas kenyataan JTS yang menyatakan hak ke atas tanah rizab ditadbir dan dikendali oleh system undang-undang penduduk peribumi berhubung tanah NCR sebenarnya tidak menepati objektif utama ukur keliling tanah NCR yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menjelas lanjut mengenai Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, Baru berkata seksyen itu telah pun wujud sejak Kanun Tanah Negeri diluluskan pada 1968.

“Di bawah Seksyen 18 ialah surat hak milik tanah untuk NCR diberikan berdasarkan adat, maknanya mereka atau individu itu sudah pun berada atau menetap di situ berpuluh-puluh tahun dan semua orang tahu tanah itu milik individu tertentu,” jelasnya.

Beliau menambah, dalam bahagian kelima Kanun Tanah Negeri yang mengiktiraf dan mewartakan sebagai tanah NCR tidak dapat dipersoalkan kerana penduduk sudah tinggal di situ berpuluh-puluh tahun lamanya.

“Perkara ini boleh dilakukan sama ada pemilik memohon surat hak milik tanah atau JTS mengambil inisiatif sendiri untuk mengiktiraf dan mewartakan tanah NCR.

“Selepas diiktiraf dan diwartakan, kerajaan menerusi JTS boleh mengeluarkan surat hak milik tanah kepada individu satu persatu.

“Oleh itu Seksyen 18 sangat penting kerana hakmilik tanah adalah bersifat kekal dan tidak perlu membayar sebarang sewa atau premium,” ujarnya.

Beliau mendakwa Seksyen 18 hanya diguna pakai lima tahun sekali setiap kali menjelang pilihan raya.

Hadirnya sama pada sidang media itu, Naib Pengerusi PKR Negeri yang juga ADUN Batu Lintang See Chee How dan ADUN Krian Ali Biju.

(Sumber: Utusan Borneo,  6 September 2011)

 
image Polls
image Announcement